32.6 C
Kuala Lumpur
Saturday, May 18, 2024

Pusat Tuisyen KAMI, bantu pelajar kurang berkemampuan

Mesti Baca

BAGI menyediakan pendidikan tambahan percuma kepada pelajar kurang berkemampuan, Pusat Tuisyen KAMI dilancarkan di Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Taman Sri Serdang, Petaling, Selangor, semalam.

Majlis pelancaran itu dirasmikan oleh Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang.

Kementerian Perpaduan Negara dalam satu kenyataan berkata, inisiatif itu bagi membantu pelajar meningkatkan prestasi akademik, disamping memenuhi tanggungjawab sosial kementerian itu kepada masyarakat dan merealisasikan aspirasi kerajaan untuk ‘Memperkasa Rakyat’ melalui pendidikan berkualiti.

Kenyataan itu berkata, tuisyen akan dilaksanakan melalui Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) yang digerakkan oleh KRT dengan menyasarkan pelajar calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024 daripada keluarga kurang berkemampuan, berprestasi sederhana serta lemah dalam akademik.

“Program ini akan dilaksanakan melalui Yayasan Sukarelawan Siswa (YSS) yang menyasarkan komuniti pedalaman, asnaf dan golongan B40.

“Ia memberi fokus kepada enam mata pelajaran teras bagi SPM iaitu Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik, Sains, Sejarah dan Pendidikan Islam.

Advertisements

“Bakal dilaksanakan selama satu tahun, pada enam bulan pertama, kelas tuisyen akan dijalankan berserta pemantauan akademik, bengkel pembangunan modal insan atau pemupukan dan pembangunan.

“Seterusnya, Jejak Lepasan SPM akan dibuat selama enam bulan untuk memantau hala tuju pelajar dan keberhasilan program,” katanya.

Kementerian Perpaduan Negara berkata, inisiatif bantuan makanan turut dilaksanakan sepanjang tuisyen itu bagi memastikan pelajar dapat menghadiri kelas dengan selesa dan fokus tanpa perlu berulang alik ke rumah yang akan meningkatkan kos perbelanjaan logistik mereka.

Program berkenaan turut mendapat kerjasama daripada Lembaga Tabung Haji yang menyalurkan dana sebanyak RM500,000 untuk pelaksanaan tuisyen bagi tempoh 2023/2024, Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Kementerian Pendidikan Malaysia.

Tuisyen KAMI adalah antara inisiatif terbaharu kementerian itu dalam ‘Membangun Komuniti Madani’ turut mendapat kerjasama Perpustakaan Negara yang menyumbangkan sebanyak 500 buku dan seterusnya melancarkan Unity Library di KRT Taman Sri Serdang. – Edisi 9

Advertisements

Terkini

Dua lelaki cuba ceroboh Istana Negara ditahan

DUA lelaki warga tempatan ditahan selepas cuba menceroboh Istana Negara, Kuala Lumpur dengan alasan untuk berjumpa Yang di-Pertuan Agong,...

Lagi Artikel Berkaitan