SERAMAI lapan wanita warga asing termasuk seorang penjawat awam dari negara jiran ditahan polis dalam Op Noda kerana disyaki terbabit dalam aktiviti persundalan melalui aplikasi WeChat.
Kesemua mereka ditahan Bahagian Siasatan Jenayah Maksiat, Judi dan Kongsi Gelap (D7), Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang pada Jumaat lalu dalam serbuan yang dilakukan di tujuh lokasi membabitkan beberapa premis hotel murah, rumah tumpangan dan apartmen di sekitar daerah Timur Laut.
Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, hasil siasatan dibuat mendapati kumpulan wanita terbabit mencari pelanggan menerusi aplikasi sosial dan mengenakan bayaran antara RM150 hingga RM250.
“Hasil dari operasi berkenaan, kita telah merampas pelbagai peralatan yang digunakan bagi menjalankan aktiviti persundalan dan wang tunai berjumlah RM2,200,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Soffian berkata, siasatan mendapati seorang daripada wanita yang ditahan mengaku sebagai penjawat awam di sebuah negara jiran.
“Wanita itu mendakwa datang ke negara ini bagi menjalankan aktiviti persundalan untuk memperoleh pendapatan tambahan.
“Sehubungan dengan itu, kesemua mereka yang berusia antara 25 hingga 47 tahun itu direman mengikut Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah dan ditempatkan di Lokap Berpusat Bayan Baru bagi tindakan lanjut,” katanya.
Ujar beliau, kes akan disiasat mengikut Seksyen 372B Kanun Keseksaan, Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 dan peraturan 39b Peraturan-peraturan Imigresen 1959. – Edisi 9

