ISTIDAT Angkat Sumpah Jawatan dan Ikrar Aku Janji serta Pengurniaan Surat Cara Pelantikan Menteri Besar Selangor diadakan pada hari ini di Balairung Seri, Istana Alam Shah, Klang.
Istana Selangor menerusi kenyataan Jumaat lalu memaklumkan, istiadat tersebut akan berlangsung pada pukul 11 pagi ini.
Katanya, Istiadat Angkat Sumpah Jawatan dan Ikrar Aku Janji serta Pengurniaan Surat Cara Pelantikan Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan (Exco) Negeri Selangor pula akan berlangsung pada pukul 2 petang.
Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) 12 Ogos lalu, gabungan PH-BN berjaya membentuk kerajaan negeri selepas menang 34 daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Selangor.
Gabungan itu ketika kempen pilihan raya mengumumkan bersetuju untuk mengekalkan Datuk Seri Amirudin Shari bagi menerajui kepimpinan negeri tersebut.
Bagaimanapun, beberapa nama lain turut disebut bagi mengisi jawatan termasuk Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Setia, Dr. Fahmi Ngah dan ADUN Tanjong Sepat, Borhan Aman Shah. – Edisi 9

