TANPA ihsan, tanpa belas kasihan. Itulah gambaran yang dapat diberikan terhadap Terengganu FC apabila garang membelasah pasukan jiran, Kelantan 8-0 di Stadium Muhammad IV, malam tadi.
Biarpun perlawanan bermula lewat disebab permukaan padang digenangi air, itu tidak mematahkan semangat skuad kendalian Tomislav Steinbruckner untuk mengutip tiga mata penuh dari tempat lain.
Pesta gol Terengganu mencari gol di atas padang lecak bermula seawal minit ke-12 apabila penyerang import, Ivan Mamut menanduk masuk gol pendahuluan hasil sepakan penjuru.
Sang Penyu menggandakan jaringan menerusi gol Nurillo Tukhtasinov yang menanduk masuk hantaran Sony Norde pada minit ke-26, sekali gus menewaskan penjaga gol Kelantan, Muhammad Irfan Haikal.
Kesilapan pertahanan Kelantan dihukum Nik Sharif Haseefy Lazim apabila meledak gol ketiga Terengganu pada minit ke-36 sebelum Engku Nur Shakir Engku Yacob mencetak gol keempat pada minit ke-41.
Terengganu tambah selesa apabila memperoleh gol kelima menerusi jaringan Muhammad Safwan Mazlan, hanya dua minit selepas babak kedua bermula.
The Red Warriors terus ‘lemas’ dalam lecak padang apabila Terengganu menambah gol keenam menerusi penyudah Mamut pada minit ke-53.
Percaturan yang dilakukan Steinbruckner dengan memasukan Hakimi Abdullah bagi menggantikan Sony Norde berhasil apabila pemain sayap itu menjadikan kedudukan 7-0 pada minit ke-63.
Mamut melengkapkan malam gemilang Terengganu dan juga dirinya selepas merakamkan hatrik selepas menjaringkan gol kelapan pelawat pada minit ke-67.
Kemenangan besar itu bagaimanapun tidak mengubah kedudukan Terengganu di tangga keenam Liga Super dengan 32 mata selepas mengharungi 20 perlawanan.
Anak buah Steinbruckner ini akan berdepan KL Rovers pada Jumaat di ini Kuala Terengganu untuk aksi timbal balik Piala Malaysia. – Edisi 9