PESAWAT Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) akan melaksanakan penerbangan taktikal secara rendah bermula esok.
TUDM berkata, ia sebagai persiapan bagi Sambutan Hari Kebangsaan 2023 yang akan diadakan di Dataran Putrajaya pada 31 Ogos ini.
“TUDM dipertanggungjawabkan mengetuai acara dan persembahan segmen udara membabitkan pesawat khususnya milik TUDM dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
“Antara aset terbabit termasuk pesawat pejuang, pesawat pengangkut, helikopter dan aset-aset udara pasukan keselamatan lain.
Pesawat-pesawat udara yang terbabit dalam acara gemilang sambutan di peringkat negara ini akan memulakan latihan penerbangan taktikal bermula esok hingga 31 Ogos ini,” katanya dalam satu kenyataan.
TUDM berkata, sepanjang latihan dijalankan pesawat berkenaan akan menjalankan penerbangan secara rendah di beberapa kawasan khususnya sekitar kawasan Putrajaya dan ruang udara negeri Selangor.
Orang ramai diminta tidak cemas atau risau sekiranya melihat pesawat TUDM dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) atau pesawat milik pasukan keselamatan lain melakukan penerbangan rendah sepanjang tempoh latihan,” katanya. -Edisi 9