26.4 C
Kuala Lumpur
Monday, May 6, 2024

Inisiatif tiket penerbangan RM300 boleh ditebus pelajar universiti

Penebusan baucar digital RM300 bagi pelajar universiti awam itu dilanjutkan hingga 31 Disember ini, berbanding 31 Oktober yang diumumkan awal

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

INISIATIF bantuan subsidi pembelian tiket penerbangan sebanyak RM300 yang diumum kerajaan pada Julai lalu, boleh ditebus semua pelajar universiti awam negara ini mulai semalam.

Kementerian Pengangkutan (MOT) memaklumkan, subsidi tiket penerbangan itu membabitkan laluan domestik di antara Semenanjung, Sabah, Sarawak dan Labuan.

Pada masa sama, tarikh akhir penebusan baucar digital RM300 bagi pelajar universiti awam untuk pembelian tiket penerbangan itu dilanjutkan hingga 31 Disember ini, berbanding 31 Oktober yang diumumkan awal.

Namun demikian, MOT memaklumkan pembelian tiket penerbangan untuk perjalanan selepas tarikh akhir penebusan baucar adalah dibenarkan.

“Sempena sambutan Bulan Kebangsaan, bantuan ini adalah satu daripada inisiatif Kerajaan Perpaduan untuk mengeratkan hubungan antara Semenanjung Malaysia dan Sabah, Sarawak serta Labuan di samping menangani isu kos sara hidup selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI,” kata MOT.

Selaras dengan itu, pelajar universiti awam boleh membuat semakan kelayakan melalui laman sesawang Kementerian Pengangkutan di https://subsidiudara.mot.gov.my/.

MOT berkata, selepas membuat semakan, pelajar yang layak boleh membuat permohonan bantuan subsidi pembelian tiket penerbangan daripada mana-mana syarikat penerbangan seperti Malaysia Airlines termasuk MASwings dan FireFly, AirAsia, Batik Air dan MYAirline yang boleh dipilih pelajar menerusi sesawang syarikat penerbangan tersebut.

Advertisements

“Sekiranya pelajar didapati tidak layak, pelajar boleh membuat semakan dan rayuan kepada Kementerian Pendidikan Tinggi melalui universiti masing-masing,”katanya.

MOT berkata, pelajar yang layak adalah mereka yang berdaftar di universiti awam sehingga tahun akademik 2022/2023 pada 30 Jun 2023.

MOT memaklumkan setelah menerima permohonan tersebut, syarikat penerbangan akan mengeluarkan baucar digital bernilai RM300 kepada pelajar sebagai credit shell untuk membeli tiket penerbangan.

“Sekiranya harga tiket yang dibeli adalah kurang daripada RM300, baki baucar digital akan kekal dalam credit shell dan boleh digunakan untuk pembelian tiket seterusnya,”katanya.

Pada 12 Julai lalu, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, mengumumkan inisiatif itu yang akan memanfaatkan lebih 56,000 pelajar universiti awam di seluruh negara membabitkan kos keseluruhan yang dianggarkan berjumlah RM16.8 juta.

Ketika itu, Loke berkata tarikh akhir penebusan baucar untuk pembelian tiket penerbangan adalah pada 31 Oktober tahun ini.– BERNAMA

Advertisements

Terkini

Selepas kopi, Richiamo kembang sayap dalam bidang peruncitan

SELEPAS berjaya membina jenama dalam perniagaan kopi, Kumpulan Richiamo melebarkan sayap perniagaan dalam peruncitan dengan membuka rangkaian kedai runcit,...

Lagi Artikel Berkaitan