PEMBANGUNAN ekonomi anak muda dari Dewan Undangan Negeri (DUN) Sikamat akan dijadikan misi dan visi utama untuk digerakkan di DUN berkenaan sekiranya peroleh kemenangan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini.
Calon Perikatan Nasional (PN), Ahmad Raihan Muhamad Hilal berkata, beliau sebagai anak muda akan mendengari apa yang dikehendaki oleh pengundi di DUN ini terutamanya anak-anak muda.
“Ini kerana peratusan anak muda di DUN ini amat besar, dan sudah tentu saya akan membawa suara anak muda. Bangunkan ekonomi untuk anak muda selain membuka peluang-peluang pekerjaan dan perniagaan di sini,”katanya.
Menurutnya yang juga Ketua Armada Bersatu Bahagian Seremban, beliau optimis kemenangan mampu diperoleh melihat kepada suara anak muda di sini yang mahukan perubahan.
“Melihat kepada gelombang PN di kawasan lain, saya percaya di DUN ini juga mampu begitu, dan apabila saya menyantuni pengundi di sini, ramai yang ingin mengenali dan ingin tahu mengenai PN,”katanya.
Namun Setiausaha Pemuda PN Negeri Sembilan itu, mengakui berdepan cabaran besar dengan pencabarnya dari Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Aminuddin Harun.
Bekas menteri besar itu bukan calang-calang kerana penyandang kerusi DUN berkenaan selama tiga penggal.
“Ada juga sentimen yang meragui kebolehan saya bertanding di Sikamat, menyoal adakah saya mampu. Jawapan saya, saya anak jati Sikamat. Saya wakil anak-anak muda di sini, semua kawan-kawan, jiran dan saudara masih di sini,”katanya.
Pada PRN DUN Sikamat kali ini, Ahmad Raihan akan bersaing dengan calon PH Datuk Seri Aminuddin Harun, dan dua calon Bebas, Bujang Abu (logo cermin mata) dan Mohammed Hafiz Baharudin (logo rumah). – Edisi 9