MAHKAMAH Tinggi 2 Klang hari ini, menjatuhkan hukuman enam tahun penjara ke atas Ramiani 58, setelah didapati bersalah kerana menjalankan penyeludupan migran.
Penyeludupan migran itu melibatkan enam warga Indonesia iaitu seorang wanita dan lima lelaki dalam lingkungan umur 21 hingga 60 tahun pada 5 November 2021.
Hakim Mahkamah Tinggi 2 Klang, Yang Arif Pesuruhanjaya Kehakiman Puan Norliza Othman membuat keputusan itu selepas tertuduh mengaku bersalah di bawah Seksyen 26A Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 kerana terlibat dalam menguruskan aktiviti penyeludupan migran.
Terdahulu, pada 5 November 2021, Maritim Negeri Selangor telah menahan seorang wanita warga Indonesia dikenali sebagai ibu Ani yang menjadi dalang sindiket penyeludupan PATI selepas diberkas oleh pasukan operasi darat Maritim Malaysia di Jalan Kuchai Lama, Kuala Lumpur.
Sindiket tersebut mengenakan bayaran sekitar RM1,500 hingga RM2,000 untuk membawa keluar dan masuk bagi setiap PATI bergantung kepada jarak lokasi.
Kes dikendalikan oleh Pegawai Penyiasat Kanan Maritim Negeri Selangor, Leftenan Maritim Mohd Sharizul Mahamood dan pendakwaan dijalankan oleh Timbalan Pendakwa Raya Maritim Negeri Selangor, Puspharasi Ramachandran. – Edisi 9

