29.6 C
Kuala Lumpur
Tuesday, May 14, 2024

Beri kuasa DUN gubal undang-undang jenayah syariah – ABIM

Mesti Baca

Ahmad Shazwan Md Yusof
Ahmad Shazwan Md Yusof
Wartawan Edisi 9

ANGKATAN Belia Islam Malaysia (ABIM) melihat wujud keperluan meminda Perlembagaan Persekutuan dengan menzahirkan kesalahan jenayah syariah berada dalam bidang kuasa negeri.

ABIM berkata, menerusi pindaan itu, Dewan Undangan Negeri (DUN) akan diberikan kuasa menggubal, meminda serta menguatkuasakan undang-undang jenayah dalam ruang lingkup kesalahan jenayah syariah.

Katanya, langkah itu secara langsung dapat mengharmonikan kedua-dua bidang kuasa syariah dan sivil serta pada masa sama meneruskan usaha untuk memperkasa Mahkamah Syariah.

“Ini memandangkan dalam peruntukan undang-undang sedia ada, sememangnya terdapat beberapa kesalahan yang diletakkan di bawah kedua-dua bidang kuasa iaitu Enakmen Jenayah Syariah dan Kanun Keseksaan seperti kesalahan sumbang mahram, pelacuran, hubungan seks sesama jantina, hubungan seks luar tabii dan perbuatan tidak sopan di tempat awam.

“Justeru, menerusi langkah memasukkan ‘undang-undang jenayah’ dalam Jadual Kesembilan Senarai III-Senarai Bersama dengan batasan untuk kesalahan Syariah akan menyelesaikan kekangan yang dinyatakan dalam kes tersebut,” katanya.

Itu merupakan antara cadangan yang terkandung dalam memorandum yang dihantar ABIM kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd. Na’im Mokhtar.

Advertisements

Menurut ABIM, langkah pengharmonian itu sejajar dengan kes Sukma Darmawan Sasmitaat Madja lawan Ketua Pengarah Penjara Malaysia dan Satu Lagi [1999] 2 MLJ 241 yang mana Mahkamah Persekutuan memutuskan bahawa peruntukan undang-undang antara Kanun Keseksaan dan Enakmen Jenayah Syariah Negeri boleh wujud secara bersama atau co-exist.

Namun katanya, seperti yang dinyatakan, batasan kesalahan yang hanya dalam ruang lingkup jenayah syariah perlu dijelaskan agar tidak timbul sebarang polemik dan salah faham di kemudian hari, kesalahan perlu dijelaskan.

“Seiring dengan usaha pengharmonian ini, usaha penambah baikan urusan merangkumi pentadbiran dan pelaksanaan Undang-undang Syariah harus ditingkatkan.

“ABIM berharap agar penyelesaian ini dapat dicapai menerusi pendekatan musyawarah dan inklusif berasaskan kepada masalah kepentingan semua golongan.

“Pendekatan ini sejajar dengan semangat untuk menjayakan agenda Malaysia Madani,” jelasnya. – Edisi 9

Advertisements

Terkini

Yakin Boleh mampu membentuk nasionalisme kalangan belia

Oleh MOHAMMAD RIZAN HASSAN TEMA Hari Belia Negara 2024 yang akan di sambut pada 15 Mei ialah Yakin Boleh yang...

Lagi Artikel Berkaitan