31.8 C
Kuala Lumpur
Thursday, May 9, 2024

MV Tung Sung: Fokus pencarian tumpu di dalam kapal

Mesti Baca

Ahmad Shazwan Md Yusof
Ahmad Shazwan Md Yusof
Wartawan Edisi 9

OPERASI Mencari dan Menyelamat (Carilamat) mangsa yang masih hilang dalam insiden kapal MV Tung Sung terbalik tertumpu pada kerja-kerja menerbalikkan kapal dan pencarian di dalam kapal tersebut.

Pengarah Maritim Negeri Sarawak, Laksamana Pertama Maritim Zin Azman Md. Yunos berkata, kerja-kerja tersebut sedang giat dilaksanakan bermula semalam dan akan disambung semula hari ini. 

Selain itu, katanya, semasa proses menerbalikkan kapal, pihak kontraktor telah memaklumkan terdapat kebocoran minyak di kawasan bilik jentera sehingga berlakunya tompokan minyak di sekitar kawasan tersebut.

“Kapal Maritim (KM) Kota Kinabalu dan kapal Permata Hidro dari Jabatan Laut (JLM) akan diaturgerakkan bagi penugasan pemantauan dan kawalan tumpahan minyak di kawasan terbabit bermula pukul 8 pagi hari ini.  

“Tambahan lagi, Pangkalan Hadapan Carilamat (PHC) di Jeti Awam Sebuyau telah ditangguhkan pada pukul 4.00 petang semalam.

Advertisements

“PHC akan dibuka semula pada tarikh yang akan dimaklumkan sehingga kapal MV Tung Sung terbalik sepenuhnya,” katanya menerusi hantaran Facebook hari ini.

Sebanyak lapan aset telah diaturgerakkan untuk Op Carilamat melibatkan aset laut daripada Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, Pasukan Polis Marin (PPM), Sarawak Coast Guard (SCG), Jabatan Bomba dan Penyelamat (JPBM), Angkatan Pertahanan Awam (APM) dan JLM dengan kekuatan seramai 103 pegawai dan anggota.

Operasi Carilamat semalam turut dibantu pasukan Hazardous Material Unit Team (Hazmat) dan pasukan JBPM Simunjan bagi pencarian mangsa di dalam kapal.

“Pencarian mangsa di dalam kapal oleh pasukan Hazmat dan JBPM tidak dapat dilaksanakan pada hari ini disebabkan kapal belum dapat diterbalikkan sepenuhnya.

“Tugas-tugas penyelarasan akan dilaksanakan di pusat Operasi Maritime Rescue Sub Centre (MRSC) Kuching sehingga Operasi Carilamat MV Tung Sung selesai,” katanya. – Edisi 9

Advertisements

Terkini

Syed Saddiq dihukum penjara 7 tahun, denda RM10 juta

BEKAS Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dijatuhi hukuman penjara tujuh tahun, dikenakan dua sebagan dan...

Lagi Artikel Berkaitan