25.6 C
Kuala Lumpur
Friday, December 1, 2023

Laluan KM66.1 KLK akan dibuka kepada pengguna pada jam 7 petang

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

LALUAN Kilometer (KM) 66.1 Lebuhraya Kuala Lumpur – Karak (KLK) dijangka bakal dibuka semula kepada pengguna pada jam 7 petang ini.

Menurut Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, kerja-kerja membaikpulih jalan dijangka selesai hari ini tertakluk kepada penilaian akhir pihak jurutera Laluan Rel Pantai Timur (ECRL), Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) dan pengendali lebuhraya (ANIH Berhad).

“Saya difahamkan, kerja-kerja pembaikpulihan akan siap pada hari ini. Jalan bakal dibuka semula kepada awam dalam jam 7 petang nanti,” katanya.

Pagi tadi, beliau meninjau ke lokasi tanah mendap (sinkhole) berhampiran Plaza Tol Bentong di KM 66.1, Lebuhraya Kuala Lumpur – Karak.

Alexander berkata, kejadian mendapan tanah yang berlaku tersebut dikenal pasti berpunca daripada runtuhan terowong projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL).

“Runtuhan terowong pada kedalaman 13 meter dari permukaan lebuhraya menyebabkan mendapan seluas 9.5 meter lebar, 10 meter panjang 4.3 meter dalam,”katanya.

Mengulas lanjut, katanya, bagi memastikan keselamatan pengguna, beliau telah mengarahkan kesemua agensi yang terlibat untuk mengambil tindakan segera dan pemantauan berterusan dilaksanakan bagi mengesan sebarang kegagalan bawah tanah di lokasi.

Ujar beliau, keselamatan rakyat dan pengguna jalan raya adalah keutamaannya.

Pada masa sama, Alexander turut berpuas hati dengan sistem kontraktor yang berjaya mengesan pergerakan tanah dan membuat penutupan jalan lebih awal.

“Mereka buat sistem untuk mengetahui sekiranya ada pergerakan tanah di kawasan ini. Memang ada sistem pengesan, jadi dipasang banyak sensor sepanjang jalan.

“Pemantauan berterusan juga akan dilaksanakan bagi mengesan jika ada pergerakan atau kegagalan bawah tanah di lokasi kejadian,” katanya.

Semalam, Lebuh Raya Kuala Lumpur – Karak (KLK) di kedua-dua arah ditutup disebabkan kejadian tanah mendap berhampiran Plaza Tol Bentong.

Pengguna jalan raya disarankan mengambil laluan alternatif untuk mengelakkan sebarang kesesakan. – Edisi 9

Terkini

KKM rekod lima kes baharu cacar monyet

KEMENTERIAN Kesihatan (KKM) merekodkan lima kes baharu jangkitan cacar monyet dalam tempoh 31 Oktober hingga semalam, menjadikan jumlah kumulatif jangkitan...

Lagi Artikel Berkaitan