31.5 C
Kuala Lumpur
Friday, May 3, 2024

Kerajaan salur RM1 bilion bagi tempoh 10 tahun kepada Felda

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mengumumkan peruntukan awal kira-kira RM1 bilion setahun bagi tempoh 10 tahun kepada Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda).

Peruntukan itu, katanya yang juga Menteri Kewangan adalah bagi meneruskan pembayaran sukuk Felda yang tertangguh oleh kerajaan sebelum ini demi kelangsungan agensi rancangan tanah berkenaan.

“Saya dengan dokongan Timbalan Perdana Menteri dan Jemaah Menteri menyatakan di sini iaitu saya luluskan dana hampir RM1 bilion setiap tahun untuk tempoh 10 tahun pada Felda.

“(Ini bagi) jamin kelangsungan institusi gergasi (Felda) negara kita,” katanya pada Sambutan Hari Peneroka Felda 2023 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS) hari ini.

Majlis tersebut turut dihadiri Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, Pengerusi Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda), Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek dan Ketua Peneroka Felda Kebangsaan, Sulong Jamil Mohamed Shariff.

Anwar berkata, selain peruntukan tersebut, kerajaan turut bersetuju menanggung subsidi diesel berjumlah RM36 juta setahun bagi penjanaan tenaga dan bekalan air bersih.

“Ia bagi operasi penjanaan tenaga dan rawatan air yang akan memberi manfaat kepada hampir 43,000 penduduk di Kompleks Sahabat, Umas dan Kalabakan,”katanya.

Advertisements

Anwar berkata, kerajaan juga akan menanggung perbelanjaan kos operasi bagi 37,012 lampu jalan di rancangan Felda seluruh negara melibatkan implikasi kewangan sebanyak RM7.7 juta setahun.

Tambahnya, kerajaan juga akan membina 12 buah Pusat Hemodialisis dengan peruntukan RM21 juta di kesemua wilayah Felda dan sebuah lagi di premis Yayasan Felda di Kelana Jaya.

“Pembinaan pusat dialisis ini dijangka dapat memberi manfaat dan meringankan beban hampir 2,000 pesakit di kawasan rancangan Felda.

“Kerajaan turut memperkenalkan insentif khas Sumbangan Kesihatan Rahmah (SKR) sebanyak RM300 bagi warga peneroka berumur 65 tahun, “katanya.

Pada masa sama, Anwar juga bersetuju menjadikan Felda sebagai peneraju transformasi digital menerusi program Digital Madani bagi memperkasa ekonomi gig.

“Program dengan kerjasama Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) itu akan dilaksanakan di 30 Pusat Ekonomi Digital (PEDi) yang dikenal pasti seluruh negara serta program jangka panjang di Kolej Yayasan Felda di Kelana Jaya.

Di samping itu juga, kata beliau, bagi membantu menyelesaikan isu Perumahan Generasi Baharu Felda (PGBF) yang terbengkalai, kerajaan akan menyediakan peruntukan sewajarnya bagi segera menyiapkan baki 283 unit perumahan terbabit.-Edisi 9

Advertisements

Terkini

Akhyar Rashid disamun, cedera di kepala akibat dipukul

PEMAIN bola sepak kebangsaan, Akhyar Rashid cedera di kepala dan kaki selepas menjadi mangsa samun di Kuala Terengganu sekitar...

Lagi Artikel Berkaitan