29.9 C
Kuala Lumpur
Monday, May 6, 2024

FSRA bolehkan Felda struktur semula komitmen kewangan

Mesti Baca

PERJANJIAN bagi Akaun Rizab Perkhidmatan Kewangan (FSRA) memberi ruang kepada Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) untuk menstruktur semula komitmen kewangan terhadap kadar faedah dikenakan dan pemansuhan 80 peratus hutang peneroka berjumlah RM8.3 bilion.

Menjelaskan perkara itu, Felda dalam kenyataan berkata, penghapusan sejumlah hutang peneroka dilaksanakan di peringkat agensi itu tanpa penyaluran peruntukan geran daripada Kerajaan Persekutuan pada 2021 serta 2022 dan ia memberikan impak besar kepada aliran tunai serta prestasi Felda.

Berikutan itu, Felda berkata, pada 26 Jun lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim telah menandatangani FSRA bagi penerimaan pertama geran RM990 juta setahun daripada Kerajaan Persekutuan untuk penebusan sukuk Felda.

“Perdana Menteri semasa Sambutan Hari Peneroka Felda pada 7 Julai lalu mengumumkan bermula tahun ini, Kerajaan Perpaduan meluluskan peruntukan sehingga RM990 juta setahun bagi membolehkan penebusan semula sukuk Felda, antara lain bagi membiayai hapus kira hutang peneroka agensi berkenaan.

“Secara keseluruhan, inisiatif itu melibatkan bantuan kewangan kepada Felda sebanyak RM9.9 bilion bagi tempoh 10 tahun,”menurut kenyataan itu.

Advertisements

Menurut Felda, kenyataan Perdana Menteri telah disalah tafsir sehingga menimbulkan kekeliruan dalam kalangan rakyat dengan janji kerajaan terdahulu untuk menghapuskan hutang peneroka Felda berjumlah RM8.3 bilion.

Terdahulu, Anwar menerusi kenyataan ringkas hari ini mengotakan janji beliau dengan mengemukakan sebahagian dokumen FSRA yang ditandatanganinya sebagai Menteri Kewangan pada 26 Jun lepas.

Tiga helaian berkaitan FSRA itu menunjukkan ia ditandatangani Anwar bagi pihak kerajaan, dengan Pengerusi Felda ketika itu Tan Sri Idris Jusoh dan Ketua Pengarah Felda Datuk Amiruddin Abdul Satar.

Pemeteraian dokumen itu disaksikan oleh Timbalan Ketua Setiausaha Perbendaharaan (Pelaburan) Kementerian Kewangan Datuk Anis Rizana Mohd Zainudin.

Anwar menerusi kenyataan sama turut mendesak bekas Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk memohon maaf atas fitnah yang dilemparkan kepadanya berkaitan pelupusan hutang peneroka Felda.- BERNAMA

Advertisements

Terkini

Bernas tanam padi pulut berskala besar di Langkawi

PADIBERAS Nasional Berhad (Bernas) melaksanakan projek penanaman padi pulut berskala besar membabitkan ladang sawah seluas 540 hektar di Langkawi,...

Lagi Artikel Berkaitan