FENOMENA El Nino telah bermula dan kekuatannya dijangka meningkat penghujung tahun ini sehingga awal tahun depan dengan kebarangkalian melebihi 90 peratus.
Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC) berkata, fenomena itu terjadi apabila berlakunya pemanasan suhu permukaan Lautan Pasifik di sekitar Khatulistiwa melebihi 0.5 darjah celcius (C) berbanding nilai purata jangka panjang.
Katanya, fenomena El Nino biasanya berlaku setiap dua hingga tujuh tahun dan berlanjutan antara sembilan hingga 12 bulan.
“Pada awal 2024, fenomena El Nino dijangka akan memberikan kesan yang lebih ketara apabila intensitinya mencapai kemuncak di mana negara akan mengalami cuaca panas dan kering berpanjangan.
“Ini akan mengakibatkan peningkatan suhu dan pengurangan jumlah hujan serta mampu menyebabkan keadaan jerebu merentas sempadan jika pembakaran hutan dan tanah gambut tidak terkawal,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
NRECC berkata, semua pihak dinasihatkan supaya mengamalkan langkah penjimatan dalam penggunaan air semasa cuaca panas.
“Orang ramai dinasihatkan agar mengelak daripada melakukan pembakaran terbuka, mengurangkan aktiviti di luar rumah atau bangunan dan minum air secukupnya.
“MET Malaysia sentiasa memantau keadaan cuaca di seluruh negara dan akan mengeluarkan Nasihat Gelombang Haba sekiranya bacaan suhu maksimum harian melebihi 37.0 C untuk tiga hari berturut-turut,” katanya. – Edisi 9