26.4 C
Kuala Lumpur
Wednesday, May 1, 2024

Ahli keluarga Salahuddin zahir ucapan terima kasih

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

WAKIL ahli keluarga Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub menzahirkan ucapan terima kasih kepada insan yang mengiringi perjalanan akhir Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup itu.

Menerusi Facebook milik Salahuddin, satu hantaran dibuat bagi mengucapkan terima kasih kepada rakan-rakan politik, ahli parti dan penyokong Timbalan Presiden Amanah itu yang tidak putus-putus mengucapkan takziah dan menzahirkan doa di media sosial.

“Terima kasih juga kepada warga KPDN Kementerian Pengangkutan, Malaysia Airlines, Hospital Sultanah Bahiyah, dan semua pihak terlibat yang memudahkan urusan penghantaran pulang jenazah dari Alor Setar ke Tanjung Piai.

“Terima kasih kepada kakitangan Hotel Grand Alora, Alor Setar yang memudahkan urusan ketika Allahyarham berdepan detik cemas dengan segera menguruskan kedatangan ambulans,” menurut kenyataan itu, malam tadi.

Hantaran itu turut menzahirkan terima kasih buat warga Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang membantu melancarkan perjalanan para tetamu kehormat serta menjaga keselamatan sepanjang urusan pengebumian Allahyarham, semalam.

Katanya, tidak lupa juga kepada semua penduduk kampung dan ahli kariah Serkat, Johor yang turut sama menghulurkan sokongan.

Advertisements

“Akhir sekali penghargaan tidak terhingga juga kami ucapkan kepada semua pihak yang bertekad untuk meneruskan legasi Allahyarham, terutamanya untuk menyantuni golongan yang kurang bernasib baik.

“Kami berharap agar masyarakat dapat terus mendoakan supaya roh Allahyarham ditempatkan dalam kalangan orang-orang yang beriman, Insya-Allah.

“Semoga Legasi Rahmah dan kasih sayang terus mekar dalam setiap diri kita,”ujarnya.

Jenazah Allahyarham Salahuddin telah selamat disemadikan di Tanah Perkuburan Jalan Sulong, Serkat, Pontian, sekitar jam 12 tengah hari, semalam.

Salahuddin, 61, meninggal dunia di Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar, jam 9.23 Ahad lalu setelah ditidurkan setelah menjalani pembedahan akibat pendarahan otak. – Edisi 9

Advertisements

Terkini

Kupang PD masih belum selamat dimakan, 81 penternak terjejas

KUPANG dari perairan Port Dickson, Negeri Sembilan masih belum selamat dimakan kerana masih menunjukkkan kandungan biotoksin yang tinggi. Jabatan Perikanan...

Lagi Artikel Berkaitan