SURAT kerahan pelajar Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) yang mewajibkan semua mahasiswa hadir ke Program Temu Anwar adalah palsu.
USIM menerusi kenyataan berkata, pihaknya mengambil perhatian serius di atas penularan surat palsu tersebut di media sosial semalam.
Kata kenyataan itu, pihak Universiti tidak pernah mengeluarkan sebarang bentuk surat seperti yang ditularkan dan adalah palsu.
“Satu laporan polis telah dibuat dan pelaporan kepada aplikasi media sosial di atas pelanggaran peraturan dan syarat perkhidmatan terhadap akaun berkaitan telah dilakukan.
“Pihak universiti amat kesal di atas penghasilan dan penularan surat dan maklumat yang tidak berasas ini,” katanya hari ini.
Semalam, tular satu surat bertajuk ‘Kerahan Pelajar Untuk Menghadiri Temu Anwar @ Negeri Sembilan di Dewan Tunku Canselor, USIM, Nilai.
Berdasarkan isi surat berkenaan, semua warga USIM wajib menghantar pelajar bagi menghadiri program tersebut dengan sesiapa yang gagal hadir perlu menyerahkan surat tunjuk sebab kepada Pusat Tanggungjawab (PTj) USIM.
Bagaimanapun, penulis surat tersebut melakukan kesilapan apabila gagal menulis tarikh dengan betul dengan meletakkan tanggal 20 Julai 2023 sebagai tarikh surat dikeluarkan. – Edisi 9

