SEVILLA merangkul kejuaraan Liga Europa (UEL) buat kali ketujuh selepas menundukkan AS Roma 4-1 menerusi penentuan sepakan penalti selepas kedua-dua pasukan terikat 1-1 usai masa tambahan.
Lucas Ocampos, Erik Lamela, Ivan Rakitic dan Gonzalo Montiel menyempurnakan sepakan penalti buat Sevilla sementara Brian Cristante merupakan pemain tunggal yang menjaringkan gol sepakan penalti buat wakil Itali itu.
Penjaga gol Sevilla, Yassine Bounou muncul wira kelab Sepanyol itu apabila menyelamatkan sepakan Gianluca Mancini dan Roger Ibanez sekali gus memberikan kelabnya kejuaraan ketujuh UEL/Piala UEFA.
Dalam aksi di Budapest, Hungary awal pagi tadi, Roma yang dibimbing Jose Mourinho berada di depan pada minit ke-34 menerusi jaringan pemain tengah, Paolo Dybala.
Sevilla hampir berjaya menyamakan kedudukan pada waktu kecederaan babak pertama namun percubaan dari jarak 25 ela Rakitic sekadar singgah di palang ketika Rui Patricio tidak mampu berbuat apa-apa.
Jose Luis Mendilibar melakukan dua pertukaran dengan membawa masuk Lamela dan Suso bagi menggantikan Oliver dan Bryan Gil yang tidak memberikan banyak impak di babak pertama.
Pertukaran tersebut membawa perubahan kepada Sevilla dan mereka memperoleh gol penyamaan pada minit ke-55 hasil jaringan sendiri Mancini.
Gol tersebut berpunca daripada hantaran silang berbahaya Jesus Navas di depan gawang Roma, gagal disudahkan Ocampos di depan gol namun terkena Mancini sebelum masuk melepasi kawalan Patricio.
Minit ke-76 menyaksikan Sevilla dihadiahkan sepakan penalti selepas Mancini menjatuhkan Ocampos dalam kawasan penalti.
Pengadil, Anthony Taylor bagaimanapun menarik semula penalti tersebut selepas merujuk video bantuan pengadil (VAR) kerana mendapati hanya kekasaran minima Mancini ke atas pemain sayap itu.
Tiada tambahan jaringan terhasil selepas itu, termasuk 30 minit masa tambahan yang diberikan sebelum penentuan penalti memihak kepada Sevilla untuk dinobatkan sebagai juara.
Sementara itu, keputusan itu merupakan kekalahan pertama Mourinho dalam final kejohanan Eropah selepas memenangi lima trofi dalam kesemua lima final yang dihadapinya. – Edisi 9