JABATAN Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK) memperkenalkan kaedah pendidikan yang lebih fleksibel dan dinamik bagi menarik lebih ramai belia mengikuti Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).
Ketua Pengarahnya, Dr. Mohd. Zahari Ismail berkata, melalui konsep ‘pendidikan untuk semua’, perluasan akses terhadap bidang TVET akan dilaksanakan merangkumi kepelbagaian kumpulan sasar.
Katanya, itu mencakupi pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), bukan lulusan SPM, mereka yang sedang bekerja, golongan B40, warga emas, orang kelainan upaya (OKU) mahupun warga pusat pemulihan.
“Pada masa ini, ramai belia dan lepasan SPM kurang berminat menyambung pengajian disebabkan ledakan ekonomi gig ekoran perubahan ekonomi semasa global khususnya pasca COVID-19.
“Kita memahami situasi ini dan berpandangan bahawa para belia perlu ada perancangan masa hadapan yang lebih progresif demi kelestarian hidup dan kerjaya yang menjamin pendapatan mereka,” ujarnya.
Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Sambutan Hari TVET POLYCC 2023 di Putrajaya semalam.
Ujarnya, JPPKK juga turut merancang penawaran program pengajian yang lebih praktikal dan sedang mengkaji semula tempoh pengajian agar lebih pendek dan fleksibel.
Sementara itu, Dr. Mohd Zahari turut menyeru lepasan SPM untuk memilih Program Asasi TVET yang baharu diperkenalkan Kementerian Pendidikan Tinggi di lima buah politeknik perintis bagi pengambilan pertama Sesi I 2023/2024.
“Pembangunan kurikulum Program Asasi TVET direka bentuk dengan memberi penekanan kepada elemen amali dan praktikal. Manakala fokus bidang Asasi TVET yang ditawarkan adalah mengikut keperluan industri semasa,” katanya.
Lepasan SPM yang berminat untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai program-program yang ditawarkan politeknik dan kolej komuniti (Polycc) boleh merujuk laman sesawang UPU di online.mohe.gov.my, Bahagian Ambilan JPPKK ambilan.mypolycc.edu.my.
Mereka juga boleh mengunjungi khemah pameran Polycc di Karnival Jom Masuk U 2023 di Universiti Malaysia Terengganu pada 4 dan 5 Jun ini serta di Universiti Malaya (4 dan 5 Jun). – Edisi 9