AL-SULTAN Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah mengingatkan seluruh rakyat negara ini agar tidak menjadikan isu agama sebagai polemik dan perbalahan politik.
Yang di-Pertuan Agong bertitah, semua pihak perlu menghormati kedudukan agama Islam sebagai agama Persekutuan sepertimana yang dinyatakan dalam Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan.
Baginda menambah, semua rakyat juga perlu menghormati kedudukan Raja-Raja Melayu sebagai ketua agama Islam.
“Namun demikian, agama-agama lain masih boleh diamalkan dengan aman dan damai.
“Semangat penuh toleransi rakyat Malaysia dalam kemajmukan yang ada, sebenarnya adalah asas kekuatan utama negara.
“Justeru, bagi membina sebuah negara yang gagah perkasa, maju jaya, berwibawa, dan bermaruah, kita semua hendaklah membuang agenda retorik perpecahan.
“Sebaliknya, bersatu hati untuk mengemudi negara ke arah pembentukan masa hadapan yang lebih baik,”titah Al-Sultan Abdullah malam ini, sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi baginda esok.
Dalam pada itu, memetik laporan Astro AWANI baginda turut menzahirkan kesyukuran kerana hari keputeraan rasmi pada tahun ini disambut dalam suasana lanskap negara yang stabil dan sentosa.
Jelas Al-Sultan Abdullah, proses pembentukan Kerajaan Persekutuan selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) telah berlangsung dengan penuh lancar dan dalam suasana aman dan damai.
“Ini adalah bukti jelas bahawa amalan demokrasi yang diamalkan sejak tujuh dekad yang lalu masih kekal subur di negara ini.
“Amalan demokrasi ini hendaklah terus menjadi asas kepada kestabilan dan keharmonian negara.
“Negara kita Malaysia mempunyai potensi yang sangat besar untuk menjadi sebuah negara yang maju dan disegani,” tambah Al-Sultan Abdullah.
Baginda berkata, kekuatan utama negara ini adalah kerana rakyatnya.
Oleh kerana itu, Al-Sultan Abdullah bertitah Malaysia telah dilimpahi dengan nikmat keamanan, kepelbagaian sumber, dan modal insan yang berkualiti serta mempunyai semangat juang yang tinggi.
Rakyat Malaysia juga, jelas baginda telah sekian lama berjaya mencipta nama di persada dunia dalam pelbagai bidang termasuk mencorak lanskap geopolitik serantau dan global.
Sementara itu, baginda turut merakamkan ucapan terima kasih kepada kerajaan, anggota pentadbiran, penjawat awam serta anggota pasukan keselamatan yang menyumbang kepada kesejahteraan dan keamanan negara.
“Beta ingin mengajak barisan kepemimpinan negara untuk terus berkhidmat setulus hati dan meningkatkan usaha membentuk sistem pentadbiran negara yang cekap, mesra rakyat, dan berintegriti demi membela masa hadapan rakyat beta dan negara yang bertuah ini,” titah Al-Sultan Abdullah lagi.
Al-Sultan Abdullah ditabalkan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16 pada 30 Julai 2019.