27.9 C
Kuala Lumpur
Thursday, September 21, 2023

Agihan kerusi BN-PH di Terengganu selesai

Mesti Baca

PENGAGIHAN kerusi antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Terengganu sudah selesai dilakukan, kata Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri, Datuk Seri Ahmad Said.

Beliau berkata, jumlah kerusi dan kawasan Dewan Undangan negeri (DUN) akan ditandingi calon BN dan PH akan diumumkan oleh presiden parti masing-masing.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kijal itu berkata, rundingan pengagihan kerusi di peringkat negeri telah diadakan sebanyak tiga kali sebelum diserahkan kepada pimpinan tertinggi parti.

“Kita serahkan kepada Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi untuk membuat keputusan muktamad.

“Terpulang kepada presiden parti dalam PH untuk keputusan muktamad tetapi perbincangan pengagihan kerusi di peringkat negeri sudah selesai dilakukan,” katanya, lapor Berita Harian.

Ahmad berkata demikian selepas Melancarkan Jentera PRN peringkat Parlimen Marang di Dewan Besar Institut Kemahiran Belia negeri (IKBN) Wakaf Tapai, Marang hari ini.

Hadir sama Timbalan Pengerusi Perhubungan UMNO negeri, Datuk Nik Dir Nik Wan Ku; Setiausaha UMNO negeri, Datuk Rozi Mamat dan Ketua Bahagian UMNO Kuala Nerus, Datuk Seri Dr Ahmad Razif Abd Rahman.

Ketika mengulas mengenai calon, Ahmad berkata, perbincangan mengenai calon akan dilakukan selepas pembubaran DUN.

“Senarai calon yang akan bertanding sudah disenarai pandek, tetapi perlu melalui beberapa proses,” katanya.

Bagi negeri Terengganu, sebanyak 32 kerusi DUN akan menjadi rebutan dalam PRN yang dijangka berlangsung bulan depan.

Dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu, BN memenangi 10 kerusi DUN manakala Pas menguasai 22 kerusi, sekali gus dapat membentuk kerajaan negeri.

Terengganu antara enam negeri yang tidak membubarkan DUN ketika PRU-15 diadakan pada November tahun lalu.

Lima lagi negeri ialah Kelantan, Kedah, Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan.

Kesemua negeri tersebut dijangka membubarkan DUN masing-masing pada penghujung bulan ini.

Terkini

44 rumah baharu dibina untuk veteran ATM

KEMENTERIAN Pertahanan telah meluluskan sebanyak 44 permohonan bina baharu dan 177 permohonan baik pulih rumah veteran Angkatan Tentera Malaysia...

Lagi Artikel Berkaitan