PEMILIK 41 unit Pangsapuri Taman Tap di Teluk Intan boleh menarik nafas lega apabila kediaman mereka yang dikelaskan sebagai ‘bangunan khas’ sejak 1995 ditukar status kepada hak milik strata.
Timbalan Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Datuk Seri Huang Tiong Sii berkata, inisiatif yang dibiayai Kumpulan Wang Amanah Tabung Khas Hakmilik Strata (TKHS) itu akan disusuli proses pindah milik daripada syarikat pelikuidasi kepada pemilik-pemilik yang sah.
Katanya, peruntukan sebanyak RM207,833.20 telah diluluskan di bawah TKHS bagi tujuan penyelesaian permohonan hakmilik strata di pangsapuri berkenaan.
“Sejurus urusan tersebut selesai, ini bakal memudahkan pemilik melaksanakan urusniaga jual beli dan transaksi lain yang dibenarkan di bawah Kanun Tanah Negara (KTN) serta Akta Hakmilik Strata 1985.
“Hakmilik Strata yang sudah sempurna didaftarkan atas nama pembeli sebagai pemilik sah juga berperanan sebagai satu dokumen pemilikan utama dan rekod ketuanpunyaan sebagai pemilik berdaftar yang sah,” katanya.
Beliau berkata demikian menerusi kenyataan semasa Majlis Penyerahan Mock-Title Hakmilik Strata Pangsapuri Taman Tap di Dewan Rumah Rehat, Teluk Intan hari ini.
TKHS turut membiayai lima skim strata lain di Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Selangor, Perak dan Kelantan dengan jumlah keseluruhan dana berjumlah RM1.45 juta.
Pada 6 Mac lalu, sebanyak 432 hakmilik strata telah berjaya dikeluarkan kepada syarikat pelikuidasi bagi Skim Strata Pangsapuri Taman Batu Permai, Kuala Lumpur yang turut dibiayai di bawah skim itu.
Sementara itu, Tiong Sii berkata, Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC) komited terus membantu pemilik petak Bangunan Khas bagi menyelesaikan isu kegagalan permohonan hakmilik strata oleh pemilik asal atau pemaju melalui TKHS.Â
“Komitmen NRECC bagi membantu rakyat ini adalah selaras dengan konsep Malaysia Madani bagi mewujudkan sebuah negara bangsa yang maju dan sejahtera,” katanya. – Edisi 9