28.5 C
Kuala Lumpur
Saturday, April 20, 2024

Tiket Coldplay: Kemuka aduan jika ditipu penjual – KPDN

Mesti Baca

Ahmad Shazwan Md Yusof
Ahmad Shazwan Md Yusof
Wartawan Edisi 9

ORANG ramai yang merasakan wujud sebarang unsur penipuan dalam urusan jual-beli tiket kumpulan muzik antarabangsa, Coldplay diminta membuat aduan rasmi kepada Kemenenterian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).

KPDN menerusi kenyataan berkata, aduan yang disalurkan perlu disertakan bersama bukti-bukti berkaitan bagi mengesahkan wujud unsur penipuan.

Ujarnya, pembeli dinasihatkan agar membuat pembelian yang bijak dengan mendapatkan tiket daripada saluran jualan rasmi dan sah. 

“Jika pembeli merasakan wujudnya unsur penipuan dalam urusan pembelian tiket tersebut, mereka wajar membuat aduan rasmi kepada KPDN dengan mengemukakan bukti-bukti berkaitan. 

“Ini untuk membolehkan siasatan dijalankan di bawah mana-mana akta yang dikuatkuasakan KPDN atau lain-lain Kementerian,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Kumpulan muzik terkenal United Kingdom (UK), Coldplay kini dalam siri jelajah Music Of The Spheres World Tour dengan Malaysia menjadi destinasi konsert yang dijadualkan pada November ini.

Konsert tersebut dijangka diadakan pada 22 November ini di Stadium Nasional Bukit Jalil dengan tiket konsert dilaporkan habis dijual dalam tempoh tiga jam sahaja.

Tiket dijual pada berharga antara RM228 hingga RM3,088 namun difahamkan ada ‘ulat tiket’ yang cuba menjual semula tiket pada harga RM43,200 biarpun harga asalnya hanya RM1,288.

Dalam pada itu, KPDN berkata, sebagai pelanggan, pengguna berhak memilih tiket pada harga yang bersesuaian dengan kemampuan mereka dan penawaran harga yang berpatutan oleh peniaga.

“KPDN menyeru kepada semua peniaga agar lebih beretika dalam urusniaga dan mengelakkan daripada melakukan kesalahan di bawah mana-mana undang-undang,” tegasnya. – Edisi 9

Terkini

Dua bot Vietnam ditahan sedang leka kaut hasil laut

AGENSI Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Kudat berjaya menahan dua buah bot nelayan asing Vietnam sedang leka...

Lagi Artikel Berkaitan