28.7 C
Kuala Lumpur
Saturday, May 4, 2024

Sistem subsidi diesel diteruskan, ditambah baik – PM

Mesti Baca

SISTEM subsidi diesel akan diteruskan dan ditambah baik dengan memastikan kenderaan yang mendapatkan bekalan diesel dari stesen minyak atau tangki skid dilengkapi dengan sistem fleet card.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, langkah itu diambil bagi memantau penggunaan diesel dan mengelakkan ketirisan oleh pihak tidak bertanggungjawab.

Bercakap pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) di Putrajaya hari ini, Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, sistem subsidi diesel negara harus diperbaiki berikutan tanggungan subsidi negara melonjak kepada RM13 bilion pada tahun lepas.

Menurutnya, semakan menunjukkan penggunaan diesel melonjak 37.7 peratus iaitu 6.1 bilion liter pada  2019 kepada 8.4 bilion liter pada 2022, sedangkan jumlah kenderaan berdaftar yang menggunakan diesel hanya meningkat 2.4 peratus iaitu dari 2.08 juta pada 2019 ke 2.13 juta pada 2022.

“Jadi ada masalah tentang salah guna, penyeludupan dan ketirisan. Ini disebutkan ketirisan RM10 billion.

“Pemberian diesel subsidi itu diteruskan tetapi mesti melalui fleet card. Dengan cara ini kita dapat kesan siapa perlu boleh pakai, tapi jangan ambil diesel dan jual kepada kilang-kilang seperti mana berlaku sekarang,” kata beliau.

Advertisements

Beliau berkata, kerajaan sedang memperincikan jenis-jenis kenderaan yang akan menikmati subsidi diesel.

“Kita sedang perinci kenderaan mana diperlukan dan sebagainya tetapi yang jelas subsidi diesel tidak dinaikkan.

“Cuma kita nak tentukan yang berhak akan peroleh diesel subsidi. Kita tidak mahu, wang cukai dibayar untuk bantu rakyat tetapi diguna kartel-kartel seperti kartel-kartel minyak masak, digunakan untuk kepentingan segelintir kecil,” kata beliau.

Anwar berkata kerajaan telah melaksanakan program subsidi bersasar secara berperingkat bermula Januari 2023 apabila kerajaan tidak lagi memberikan subsidi penuh tarif elektrik kepada syarikat besar yang menggunakan tenaga elektrik pada tahap yang tinggi. 

Beliau berkata pengurusan subsidi yang lebih bersasar dan mampan menjadi keutamaan dalam memastikan perbelanjaan kerajaan disalurkan kepada keperluan pembangunan yang dapat memberi nilai tambah lebih tinggi kepada ekonomi negara. – BERNAMA

Advertisements

Terkini

USANITA pilih Awal Ashaari sebagai wajah untuk 2024

ATAS komitmen terbaik yang diberikan dalam memberikan kerjasama terhadap pelbagai program yang dijayakan oleh Usanita Sdn Bhd (USANITA), pelakon...

Lagi Artikel Berkaitan