KERAJAAN kini dalam fasa akhir sebelum memuktamadkan Rang Undang-Undang (RUU) Ombudsman Malaysia untuk mendapatkan pertimbangan dan kelulusan Jemaah Menteri dalam masa terdekat.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, kerajaan secara prinsipnya bersetuju menubuhkan Ombudsman Malaysia.
“Kerajaan Perpaduan sedang mempertimbang beberapa perkara dasar lagi antara lain elemen siasatan dan penguatkuasaan terhadap aduan salah tadbiran sistem penyampaian perkhidmatan awam dan pembentangan laporan di Parlimen.
“Selain itu, ianya turut merangkumi jenis aduan, pelantikan dan penamatan perkhidmatan Ombudsman, pelantikan pegawai yang akan berkhidmat di Ombudsman serta perkara-perkara lain,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Ombudsman Malaysia berfungsi menerima, mengendali dan menyelesaikan aduan berkaitan salah tadbiran, sistem penyampaian perkhidmatan awam persekutuan bagi meningkatkan tadbir urus yang baik dalam perkhidmatan awam.
Ombudsman adalah satu badan bebas yang mengamalkan konsep tidak memihak dalam menguruskan aduan yang disalurkan orang awam terhadap sistem penyampaian perkhidmatan awam.
Selain itu, Ombudsman merupakan konsep yang diterima pakai dan diktiraf di peringkat antarabangsa dan 115 daripada 195 negara di dunia mempunyai institusi Ombudsman.
Sementara itu, beliau berkata, RUU Ombudsman Malaysia akan memperuntukkan fungsi dan kuasa Ombudsman Malaysia dengan jelas.
Katanya, itu merangkumi pengurusan aduan salah tadbiran di agensi Kerajaan Persekutuan, penentuan hala tuju Ombudsman Malaysia dalam mencegah salah tadbiran dalam agensi Kerajaan.
“Ini termasuk pengemukaan syor tindakan pembetulan atau tindakan pencegahan kepada agensi Kerajaan, pemantauan ke atas pelaksanaan pengurusan aduan awam oleh agensi kerajaan dan penyediaan serta penerbitan laporan berhubung pengurusan aduan salah tadbir.
Dalam pada itu, Azalina berkata, selaras dengan hasrat Perdana Menteri, Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang, Jabatan Perdana Menteri (BHEUU, JPM) bersama-sama dengan Biro Pengaduan Awam (BPA) mengadakan sesi libat urus dengan pihak-pihak berkepentingan.
Katanya itu termasuk semua ahli Parlimen, agensi kerajaan, badan bukan kerajaan (NGO) dan civil society organisations (COs) dalam memuktamadkan RUU Ombudsman Malaysia.
“Kerajaan juga akan mengadakan sesi taklimat dengan ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang pada sidang Parlimen yang akan datang dalam mendapatkan input dan pandangan sebagai usaha penglibatan yang bermakna dalam memuktamadkan RUU tersebut dengan kadar segera,” katanya. – Edisi 9