TAKTIK sindiket dadah menggunakan teknik baharu dengan menyembunyikan ketulan ganja mampat dalam biskut raya tumpas, apabila ditahan pihak penguatkuasa.
Difahamkan dadah berkenaan untuk dihantar ke pasaran Sabah serta Sarawak dan menggunakan syarikat penghantaran barang.
Pengarah Kastam Johor, Misbahudin Parmin berkata, pihaknya telah menerima maklumat daripada Jabatan Kastam Sarawak susulan risikan selama tiga bulan yang dilakukan.
“Didapati sebuah pejabat syarikat penghantaran di Johor Bahru antara dalang, sebelum diserbu bulan lalu yang seterusnya membawa kepada penemuan sembilan bungkusan biskut raya dan kacang disasarkan untuk pasaran Sabah serta Sarawak.
“Pemeriksaan ke atas sembilan bungkusan kuih raya berkenaan mendapati 10 ketulan mampat disyaki dadah jenis ganja disembunyikan dalam bekas lutsinar bersama biskut raya.
“Ini kali pertama sindiket penyeludupan dadah dikesan menggunakan modus operandi menghantar dadah disembunyikan bersama biskut raya yang dihantar menggunakan syarikat penghantar barang bagi mengaburi mata pihak berkuasa,”katanya dalam sidang akhbar di Johor Bahru.
Susulan itu, beliau berkata, seorang lelaki berusia 27 tahun yang membuat penghantaran biskut raya itu ditahan untuk siasatan lanjut.
“Penahanan itu kemudian membawa kepada serbuan di sebuah rumah di Johor Bahru dijadikan pusat pembungkusan ganja untuk dihantar menerusi syarikat penghantaran bersama biskut raya berdasarkan tempahan dan seorang lelaki berusia 29 tahun yang positif dadah ditahan,”katanya memetik laporan Harian Metro.
Beliau berkata, ketulan mampat dipercayai ganja seberat 24kg dianggarkan bernilai RM82,874 ditemui di rumah itu.
“Sehubungan dengan itu, kes terbabit disiasat mengikut Seksyen 39B (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.
“Jika sabit kesalahan, ia membawa hukuman mati atau penjara seumur hidup dan hendaklah sekiranya tidak dihukum mati, dihukum dengan 15 sebatan maksimum,” katanya.

