33.9 C
Kuala Lumpur
Sunday, May 5, 2024

Thailand mahu tamatkan penggunaan ganja secara bebas

Mesti Baca

PERDANA Menteri Thailand, Srettha Thavisin, berikrar menyekat penggunaan ganja untuk tujuan perubatan, suatu dasar popular yang diperkenalkan kerajaan terdahulu.

Beliau dalam satu temu bual di New York berkata, kerajaan akan berusaha untuk ‘membetulkan’ dasar ganja dan penjualan dadah secara bebas lagi berleluasa dalam tempoh enam bulan.

“Undang-undang perlu ditulis semula. Kami boleh mengawalnya untuk kegunaan perubatan sahaja,” katanya.

Beliau berkata, tidak ada jalan tengah untuk kegunaan rekreasi.

Walaupun Srettha berkata terdapat persetujuan luas dalam kalangan gabungan 11 parti yang diketuainya berhubung keperluan untuk menyekat penggunaan ganja, kaedah bagaimana pentadbirannya akan bertindak masih belum jelas.

Parti Pheu Thai disertai Srettha mempromosikan kempen antidadah yang tegas menjelang pilihan raya Mei lalu dan berikrar untuk membatalkan dasar ‘menghalalkan’ ganja.

Beliau yang kini dalam gabungan dengan Parti Bhumjaithai diketuai oleh Anutin Charnvirakul, berikrar untuk meneruskan rancangan untuk memperkenalkan semula rang undang-undang (RUU) ganja di Parlimen bagi memantau industri secara ketat dan pada masa sama, menentang klasifikasi tumbuhan itu sebagai dadah.

Advertisements

Kelompangan peraturan susulan langkah untuk membatalkan klasifikasi ganja sebagai narkotik menyebabkan hampir 6,000 dispensari tumbuh bagai cendawan di seluruh negara.

Mereka menjual segala-galanya daripada tunas kanabis kepada ekstrak minyak yang mengandungi kurang daripada 0.2 peratus tetrahydrocannabinol – sebatian psikoaktif yang memberikan pengguna sensasi ‘khayal’.

Petani Thailand juga dibenarkan menanam ganja secara bebas selepas mendaftar dengan Pentadbiran Makanan dan Dadah negara.

Pemilik dispensari tempatan pula mengadu mengenai import yang tidak terkawal dan kejatuhan harga, namun sektor industri ganja tidak tergugat dengan perkembangan terbaru itu.

Presiden Persatuan Ganja Phuket, Poonwarit Wangpatravanich, berkata sempadan faedah perubatan ganja antara penggunaan kesihatan dan rekreasi sudah semakin kabur.

“Bagaimanapun, larangan ini akan menghalang faedah ekonomi pelancongan ganja Thailand, selain menutup dispensari di seluruh negara, yang mungkin berpotensi menjejaskan populariti kerajaan,” katanya. -Agensi

Advertisements

Terkini

USANITA pilih Awal Ashaari sebagai wajah untuk 2024

ATAS komitmen terbaik yang diberikan dalam memberikan kerjasama terhadap pelbagai program yang dijayakan oleh Usanita Sdn Bhd (USANITA), pelakon...

Lagi Artikel Berkaitan