36 C
Kuala Lumpur
Friday, March 29, 2024

542 burung dari luar negara dikuarantin di Pulau Pinang

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

SEBANYAK 542 ekor burung pelbagai jenis dari luar negara telah dikuarantin di Stesen Kuarantin Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) Batu Maung (SKBM) Pulau Pinang sepanjang tahun 2022 sehingga April tahun ini.

Pengarah Maqis Pulau Pinang, Muhammad Ikram Abdul Talib berkata, kesemua burung-burung tersebut dari Singapura, Republik Czech dan Papua New Guinea dengan nilai keseluruhan sebanyak RM83,063.

Menurutnya, pengambilan sampel ke atas burung akan dijalankan sehari selepas kemasukan burung di Stesen Kuarantin Maqis.

“Pengambilan sampel bertujuan mengelakkan burung yang dikuarantin mengalami kemurungan dan tekanan disebabkan perubahan tempat tinggal.

“Kebiasaannya, sampel calitan kloaka bagi burung yang dikuarantinkan akan diambil untuk tujuan saringan ujian Avian Influenza (AI) dan ujian Newcastle Disease (ND).

“Sekiranya ujian tersebut didapati positif, maka burung tersebut akan dirujuk ke Jabatan Perkhidmatan Veterinar Malaysia untuk tindakan selanjutnya,” katanya menerusi kenyataan di sini memetik laporan Sinar Harian.

Kata beliau, tindakan membawa masuk haiwan hidup yang berpenyakit adalah menjadi satu kesalahan mengikut Seksyen 14, Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 [Akta 728].

“Jika sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi enam tahun atau kedua-duanya sekali di bawah Seksyen 14 akta yang sama.

“Maqis sentiasa komited dalam melaksanakan tugasan di pintu sempadan perairan negara bagi memastikan haiwan hidup yang dibawa masuk ke dalam negara mematuhi aspek kesihatan manusia, binatang, tumbuhan dan ikan demi keselamatan negara,” katanya.

Menurut Muhammad Ikram, ketika ini, terdapat tujuh buah Stesen Kuarantin Haiwan Kerajaan yang telah dibina iaitu enam buah di Semenanjung Malaysia dan satu di Wilayah Persekutuan Labuan.

Jelasnya, setiap stesen kuarantin ini mempunyai kemudahan dan kapasiti tersendiri bagi urusan kuarantin haiwan.

“SKBM Pulau Pinang merupakan salah satu pusat kuarantin yang dibina bagi tujuan pencegahan kemasukan penyakit haiwan dan zoonotik ke dalam negara melalui aktiviti pengimportan haiwan hidup terutamanya burung.

“Oleh itu, mana-mana unggas seperti burung kakak tua dan burung nuri yang dibawa masuk ke Malaysia perlu menjalani prosedur kuarantin.

“Tempoh kuarantin bagi burung ditentukan berdasarkan analisis risiko ke atas terhadap spesis burung dan negara asal yang berkenaan,”ujarnya.

Tambah beliau, sepanjang tempoh kuarantin, Maqis bertanggungjawab dalam melakukan aktiviti persampelan terhadap burung yang dibawa masuk daripada negara luar.

Terkini

Imigresen serbu pusat hiburan sediakan ‘call girl’, 63 ditahan

JABATAN Imigresen Johor menyerbu sebuah pusat hiburan yang disyaki menyediakan gadis panggilan (call girl) di Taman Mount Austin, Johor...

Lagi Artikel Berkaitan