SETIAUSAHA Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook memaklumkan, tiada sebarang arahan dikeluarkan daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke atas Menteri Sumber Manusia, V. Sivakumar untuk bercuti.
Anthony berkata demikian susulan siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung kelulusan pekerja asing ke atas Setiausaha Sulit kepada Sivakumar
Bagaimanapun, kata beliau, kerajaan sedang memantau perkembangan kes tersebut membabitkan Sivakumar yang merupakan wakil rakyat daripada parti tersebut.
“Setakat ini, tiada arahan daripada Perdana Menteri untuk rehatkan beliau.
“Beliau bukanlah suspek ketika dipanggil ke Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada Ahad,”katanya ringkas selepas ditanya mengenai perkembangan perkara tersebut menerusi sidang akhbar khas di kementeriannya hari ini.
Khamis lalu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki mengesahkan, Setiausaha Sulit kepada Sivakumar ditahan.
Penahanan Setiausaha Sulit menteri itu dilakukan SPRM pukul 2.30 pagi selepas seorang pegawai tugas-tugas khas kepada Sivakumar ditahan sebelum itu.
Media kemudianya melaporkan, pegawai tugas-tugas khas Sivakumar ditahan selepas dipercayai bertindak sebagai ‘runner’ bagi mengutip rasuah daripada ejen-ejen tertentu untuk diberikan kuota pengambilan pengambilan pekerja asing.
Hari ini, Sivakumar menafikan laporan media kononnya kediaman beliau digeledah SPRM semalam.
Penafian itu selepas tular berita mendakwa SPRM menggeledah pejabat dan kediaman Menteri Sumber Manusia itu. – Edisi 9