29.1 C
Kuala Lumpur
Friday, April 19, 2024

TMM 2025: Tourism Malaysia sasar 23.5 juta pelancong

Mesti Baca

Ain Hamzah
Ain Hamzah
Wartawan Edisi 9

TOURISM Malaysia menyasarkan ketibaan pelancong ke negara ini sebanyak 23.5 juta orang sempena Tahun Melawat Malaysia (TMM) 2025.

Ini sekaligus mampu menjana pendapatan sebanyak RM76.8 bilion kepada ekonomi negara.

Sejajar dengan hasrat itu, Tourism Malaysia telah mengadakan sesi libat urus bersama penggiat industri pelancongan minat khas mengenai peranan dalam menggiatkan lagi industri pelancongan negara bagi merealisasikan TMM 2025.

Program yang diadakan di Hotel Sunway Putra di Kuala Lumpur itu telah mengumpulkan hampir 100 pengusaha industri pelancongan dari pelbagai segmen produk minat khas untuk mendapatkan maklum balas dan cadangan bagi kembali memulihkan industri pelancongan khususnya bagi segmen minat khas.

Pengarah Bahagian Pembangunan Pakej Tourism Malaysia, Shahrin Mokhtar berkata, sesi libat urus yang diadakan itu dapat mengukuhkan hubungan rangkaian antara penggiat industri di samping berkongsi peranan penting yang dimainkan dalam membangunkan pakej pelancongan khusus bagi segmen minat khas di Malaysia.

“Hasil kerjasama erat antara Tourism Malaysia bersama penggiat industri dan agensi-agensi berkaitan, pelbagai pakej menarik yang telah dibangunkan seperti pakej selam skuba, warisan, coffee trail, beli-belah dan lain-lain lagi untuk dipasarkan sama ada di dalam mahupun di luar negeri,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Untuk rekod pada sesi libat urus tersebut, Tourism Malaysia juga memaklumkan kepada penggiat industri yang hadir tentang program-program yang akan dilaksanakan pada tahun ini dengan membuka peluang untuk penyertaan dalam program-program tersebut.

Pengusaha yang hadir juga telah diperkenalkan kepada video-video promosi segmen minat khas yang telah dibangunkan termasuk sebuah video promosi yang baru, Truly Wondrous Nature and Rainforest.

Ujar beliau, video itu mengetengahkan Malaysia sebagai destinasi untuk menikmati khazanah alam semula jadi yang menakjubkan dengan berlatarkan ekosistem yang berusia lebih 130 juta tahun.

Dalam pada itu, Tourism Malaysia menyasarkan ketibaan sebanyak 16.1 juta pelancong tahun ini, sekaligus mampu menjana pendapatan sebanyak RM49.3 bilion kepada ekonomi negara.

Pada tahun lalu, seramai 10.1 juta orang pelancong tiba di negara ini yang menjana pendapatan sebanyak RM28.2 bilion.

Pautan klip video Truly Wondrous Nature and Rainforest: https://youtu.be/t57nDjO1QSg.

-EDISI9

Terkini

Beras dibuang di tapak pelupusan sampah tidak selamat dimakan

BERAS yang didakwa dibuang di tapak pelupusan sampah di Temerloh, Pahang didapati telah rosak dan tidak sesuai serta tidak...

Lagi Artikel Berkaitan