28.6 C
Kuala Lumpur
Friday, April 26, 2024

Tahap kesuburan lelaki Malaysia membimbangkan

Data ujian analisis sperma makmal LPPKN mendapati sebanyak 60 peratus lelaki menunjukkan keputusan abnormal.

Mesti Baca

Ain Hamzah
Ain Hamzah
Wartawan Edisi 9

TAHAP kesuburan kaum lelaki di negara ini didapati semakin membimbangkan, kata Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Aiman Athirah Sabu.

Menurut beliau, ia berdasarkan data ujian analisis sperma makmal Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Malaysia (LPPKN) yang mendapati sebanyak 60 peratus menunjukkan keputusan abnormal.

Menurut beliau, perkara berkenaan secara langsung menyumbang kepada peningkatan masalah kesuburan dalam pasangan berkahwin di Malaysia.

“Pada masa yang sama kadar kelahiran di negara kita juga menunjukkan trend penurunan sejak 40 tahun lepas dan ia berkait rapat dengan kadar kesuburan dengan data 2021 Jabatan Perangkaan Malaysia yang menunjukkan 1.7 orang anak bagi setiap wanita berkahwin,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Negara, hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan Senator Datuk Dr Dominic Lau Hoe Chai tentang tindakan kementerian dalam menghadapi penurunan kadar kelahiran di negara ini.

Ujar Aiman Athirah, sebagai langkah produktif kerajaan telah mewujudkan Klinik Kesejahteraan Lelaki yang mula beroperasi Oktober tahun lepas di Klinik Subfertiliti LPPKN di ibu negara dan akan diperluas ke enam lagi Klinik LPPKN di seluruh Semenanjung dan Sarawak tahun ini.

Advertisements

“Dalam usaha bantu pasangan berkahwin tangani masalah kesuburan, LPPKN ada menawarkan rawatan kesuburan sejak 1979… di Zon Utara iaitu Klinik Subfertiliti Pulau Pinang, Zon Tengah di Klinik Subfertiliti di Kuala Lumpur dan untuk Zon Selatan (Klinik Subfertiliti) di Johor,” katanya.

Jelas beliau lagi, inisiatif rawatan di fasiliti LPPKN itu sehingga kini telah berjaya mencatat 6,000 kehamilan dan 4,000 kelahiran yang merupakan satu pencapaian setanding pusat rawatan kesuburan antarabangsa.

Dalam pada itu beliau menyatakan antara faktor menyumbang kepada penurunan kadar kesuburan rakyat ialah perubahan gaya hidup dan kos sara hidup tinggi sehingga pasangan mengambil keputusan mengehadkan jumlah anak.

Selain itu, peningkatan bilangan wanita berpendidikan, penyertaan wanita dalam tenaga buruh selain lewat berkahwin sehingga memendekkan usia reproduktif juga menjadi penyumbang kepada penurunan kadar kesuburan rakyat.

-EDISI9

Advertisements

Terkini

Zahid, Muhyiddin sepakat batal saman, henti pertikaian peribadi

TIMBALAN Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini membuat...

Lagi Artikel Berkaitan