26.6 C
Kuala Lumpur
Tuesday, May 7, 2024

Rewang raya simbol kekeluargaan UPSI

Mesti Baca

EMPAT persatuan di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) bergabung tenaga mengadakan program rewang memasak biskut Coklat Cornflake untuk diedarkan kepada semua kakitangan universiti itu.

Persatuan Wanita Universiti Pendidikan Sultan Idris (Pewaris) yang mengetuai program rewang itu menjayakannya bersama Persatuan Kakitangan Akademik (Peka), Persatuan Pegawai Tadbir dan Ikhtisas (Prestasi) dan Kesatuan Pegawai Am (KPA).

Kesemuanya bergabung di bawah Jalinan Ikatan Persatuan dan Kesatuan Kakitangan UPSI (JITU) sekali gus mencerminkan simbolik semangat kekitaan dan kekeluargaan warga UPSI.

Naib Canselor UPSI, Prof Datuk Dr Md Amin Md Taff berkata, gabungan dan kerjasama semua pihak dalam menjayakan program tersebut disifatkan sebagai suatu kejayaan dalaman bagi sesebuah organisasi.

Katanya, aura dan semangat kekeluargaan UPSI boleh dirasakan apabila beliau turut bersama-sama kakitangan dari pelbagai jabatan menghias biskut-biskut yang disediakan.

Advertisements

Beliau berkata sebanyak 2,200 balang biskut berjaya dihasilkan menerusi agihan tugas kepada setiap kumpulan.

“Pengorbanan semua kakitangan terhadap universiti sentiasa dikenang apalagi dalam situasi kita akan menyambut Hari Raya Aidilfitri nanti,” katanya.

Sementara itu, Penaung Pewaris, Datin Pazilah Yahaya berkata, penyediaan kuih raya tersebut dihasilkan sepenuhnya oleh kakitangan UPSI dengan menggunakan bahan mentah iaitu kira-kira 120 kilogram (kg) coklat, 100 kg empingan jagung dan 10 kg mentega.

“Saya memanjatkan rasa kesyukuran dan menyifatkan objektif penganjuran ini tercapai apabila kelihatan ramai kakitangan dari pelbagai jabatan menyertai gotong-royong ini,” katanya.

Beliau berharap kerjasama semua pihak akan terus terjalin demi kejayaan dan kecemerlangan UPSI. – Edisi 9

Advertisements

Terkini

MASA, IDS jalin kerjasama bidang penyelidikan, masyarakat

INSTITUT Kajian Pembangunan (Sabah) IDS dan Institut Masa Depan Malaysia (MASA), hari ini menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bertujuan menjalin...

Lagi Artikel Berkaitan