27.5 C
Kuala Lumpur
Sunday, April 28, 2024

MQA, EMGS komited jadikan Malaysia hab bakat global

Mesti Baca

Ahmad Shazwan Md Yusof
Ahmad Shazwan Md Yusof
Wartawan Edisi 9

AGENSI Kelayakan Malaysia (MQA) dan Education Malaysia Global Services (EMGS) komited menjadikan Malaysia sebagai hab bakat dan pengetahuan atau pusat ilmu sejagat.

Ketua Pegawai Eksekutif MQA, Prof. Datuk Dr. Mohammad Shatar Sabran berkata, kolaborasi dua agensi di bawah Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) itu mampu menarik minat bakat terbaik global datang menyambung pengajian di negara ini.

Katanya, semua pihak di bawah kementerian itu giat menjalin kerjasama antara satu sama lain dalam usaha mempromosi serta memperkukuh jenama pendidikan tinggi negara yang kualitinya sudah pun pada tahap yang baik.

“Kita tidak lagi boleh bergerak sendirian terutama dalam konteks pengantarabangsaan, justeru kerjasama antara MQA dan EMGS yang sudah dimeterai menerusi memorandum persefahaman (MoU) sebelum ini akan terus dioptimumkan dengan pelaksanaan aktiviti signifikan.

“Melalui kerjasama ini dijangka pendidikan tinggi Malaysia akan dapat menembusi pasaran strategik seperti yang dihasratkan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin seperti di Asia Tengah, Asia Barat dan benua Afrika,” katanya.

Beliau berkata demikian menerusi kenyataan ketika lawatan rasmi Pengerusi EMGS, Dr. Abdul Razak Ahmad ke Mercu MQA, hari ini.

Hadir sama, Pengarah Kanan (Pembangunan Dasar dan Kepakaran) MQA, Mohammad Dzafir Mustafa dan Ketua Unit Hal Ehwal Awam dan Antarabangsa MQA, Muhammad Hasfarizal Kamaludin.

Advertisements

Mengulas lanjut, Mohammad Shatar berkata, dengan jaringan antarabangsa yang luas serta pengalaman MQA dan EMGS, Malaysia mampu menjadi destinasi pilihan masyarakat dunia untuk menyambung pengajian.

Selain itu, katanya, kita juga mampu untuk mengeksport kepakaran ke peringkat antarabangsa terutama di negara yang mempunyai jalinan kerjasama dengan Malaysia dalam pendidikan tinggi.

“Selaku agensi yang dipertanggungjawabkan menyelia jaminan kualiti pendidikan tinggi Malaysia, MQA bersungguh-sungguh untuk terus melonjakkan imej pendidikan tinggi negara, malah akan bergerak lebih agresif tahun ini.

“Jaringan dan kerjasama dengan badan akreditasi luar negara akan memudahkan pelajar Malaysia serta negara yang berkenaan bagi menyambung pengajian, menjalankan program mobiliti, pemindahan kredit, malah untuk tujuan bekerja,” katanya.

Sementara itu, Abdul Razak berkata, hasil lawatan awal pihaknya ke beberapa buah negara Asia Tengah dan Asia Barat mendapati MQA mampu dijadikan rujukan oleh badan jaminan kualiti luar terutama dalam menambah baik kerangka kelayakan negara mereka.

Selain itu, katanya, jalinan kerjasama MQA dengan badan jaminan kualiti antarabangsa signifikan untuk memastikan elemen keseteraan pengiktirafan yang mana akan memudah cara peluang pelajar luar untuk belajar di Malaysia dan sebaliknya.

“Inisiatif ini sekali gus akan membantu meningkatkan takungan bakat antarabangsa di negara ini,” katanya. – Edisi 9

Advertisements

Terkini

Sultan Selangor ingatkan jemaah haji kekalkan disiplin diri

SULTAN Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah mengingatkan bakal-bakal haji dari negeri itu agar mengekalkan disiplin diri semasa berada di...

Lagi Artikel Berkaitan