30.9 C
Kuala Lumpur
Tuesday, April 23, 2024

Lagi kes suami bunuh isteri, motif dipercayai cemburu

Mesti Baca

Ain Hamzah
Ain Hamzah
Wartawan Edisi 9

KURANG seminggu kes seorang suami dilaporkan membunuh isterinya di Bukit Besi, Dungun, Terengganu, satu lagi kes serupa berlaku di Jalan Pahlawan, Kepayan, Kota Kinabalu, Sabah, semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 1.30 tengah hari itu, seorang warga asing telah menikam isterinya hingga cedera parah di gerai sayur dan mangsa yang bekerja sebagai pembantu kedai dikejarkan ke Hospital Queen Elizabeth I (HQE I) sebelum disahkan meninggal dunia.

Difahamkan, kejadian itu disedari oleh orang awam sebelum memaklumkan perkara itu kepada polis.

Menurut Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Superintendan Kalsom Idris, siasatan awal mendapati ketika kejadian, mangsa berusia 38 tahun dikatakan membantu kakaknya berniaga sayur di kawasan berkenaan sebelum didatangi suspek

“Suspek bertindak menikam beberapa kali di bahagian belakang mangsa sebelum bertindak melarikan diri.

“Wanita yang parah itu kemudian dibawa ke hospital menggunakan ambulans, namun mangsa disahkan meninggal dunia pada 2.21 petang,” katanya seperti dilaporkan media, hari ini.

Kalsom berkata, susulan kejadian, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu berjaya memberkas suspek di Jalan Kepayan, 8.30 malam tadi.

“Polis berjaya menyelesaikan kes ini tidak sampai 24 jam dan motif kejadian dipercayai akibat

Advertisements

cemburu.

“Polis turut merampas sebilah pisau di lokasi kejadian yang dipercayai digunakan suspek ketika kejadian,” katanya.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh,” katanya.

Untuk rekod, Rabu (5 April) lalu, kira-kira pukul 8 pagi, mangsa, Rubiah Sabtu, 41, meninggal dunia di kediamannya di Kampung Besol di Bukit Besi, selepas dipercayai dipukul dengan tukul besi oleh suspek yang dikahwininya tahun lepas.

Suspek seorang buruh binaan berusia 30an direman selama tujuh hari bermula Khamis lalu sehingga 12 April, bagi membantu siasatan kes pembunuhan isterinya itu.

Pada 5 Mac lalu, seorang anggota polis yang bertugas di Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perlis disyaki membunuh isterinya, Safsufarnisya Salleh berusia 27 tahun yang ketika itu hamil lima bulan.

Suspek dipercayai melepaskan lima das tembakan pada jarak dekat dengan salah satu tembakan terkena mata kiri mangsa mengakibatkan wanita itu maut di tempat kejadian.

-EDISI9

Advertisements

Terkini

Agong, Permaisuri zahir rasa sedih tragedi nahas helikopter TLDM

YANG di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim dan Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah menzahirkan rasa sedih atas tragedi nahas dua...

Lagi Artikel Berkaitan