PROGRAM Kembara Perpaduan @ Kampus berorientasikan pengukuhan nilai jati diri dan semangat perpaduan dalam kalangan mahasiswa di institusi pengajian tinggi (IPT) dilancarkan hari ini.
Menteri Perpaduan, Datuk Aaron Ago Dagang berkata, program itu memberi fokus kepada program yang melibatkan mahasiswa berteraskan tiga kluster utama Kembara Perpaduan Malaysia Madani.
Ujarnya, itu termasuk Semarak Kenegaraan, Semarak Perpaduan; dan Program Komuniti Rahmah.
“Belia memainkan peranan sangat besar dalam pembentukan sesebuah negara. Sumbangan dan penyertaan belia sangat diperlukan khususnya dalam menjayakan aspirasi Malaysia Madani.
“Program ini berupaya dijadikan platform mahasiswa untuk memperkasa semangat patriotisme, saling mempererat hubungan toleransi antara kaum dan menyemai semangat kebersamaan demi kemajuan negara,” katanya hari ini.
Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan pelancarkan program Kembara Perpaduan @ Kampus, di Dewan Universiti Teknologi MARA (UiTM) Kampus Puncak Alam.
Turut hadir Naib Canselor UiTM, Prof. Datuk Ts. Dr. Roziah Mohd. Janor.
Program itu dianjurkan dengan kerjasama UiTM Kampus Puncak am dan Yayasan Sukarelawan Siswa (YSS).
Sementara itu, Aaron berkata, program-program akan digerakkan secara bersama dengan YSS dan Sekretariat Rukun Negara seluruh Malaysia.
“Aktiviti-aktiviti ke arah pengukuhan pengetahuan, pemahaman, penghayatan, penilaian dan pengamalan Rukun Negara dalam kalangan mahasiswa wajar diberi penekanan khususnya dalam membangun Malaysia Madani,” ujarnya. – Edisi 9

