24.7 C
Kuala Lumpur
Thursday, April 25, 2024

Isu Rasuah: V. Sivakumar wajar direhatkan

Kerajaan Perpaduan tiada ketegasan perangi rasuah.

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

PERIKATAN Nasional (PN) menggesa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim agar merehatkan Menteri Sumber Manusia selepas V. Sivakumar terpalit dengan rasuah berhubung isu pekerja asing.

Ketua Penerangan Pas Pusat, Ir Ts Khairil Nizam Khairudin berkata, tindakan itu wajar dilakukan Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) kerana menunjukkan tauladan yang baik serta mengotakan janji apabila orang mereka sendiri disiasat.

“Antara tatakelola baik yang diamalkan dalam dunia korporat dan industri adalah dengan memberikan garden leave bagi merehatkan pegawai yang berkenaan bagi melindungi kepentingan perniagaan dan juga reputasi baik sesebuah organisasi.

“Rakyat hari ini makin matang dan dengan jelas melihat sikap double standard kerajaan terutamanya pemimpin PH,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Beliau berkata, siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap kes rasuah berkaitan imbuhan kelulusan pekerja asing semakin banyak melibatkan Sivakumar.

“Anwar perlu rehatkan Sivakumar selari dengan tindakan desakan Majlis Presiden PH terhadap kes Tan Sri Azam Baki pada 2022.

“Tindakan merehatkan ini penting untuk memastikan SPRM dapat menjalankan tugas dengan bebas tanpa tekanan serta campur tangan pihak berkepentingan yang memiliki kuasa,”katanya lagi.

Advertisements

Khairil Nizam yang juga Ahli Parlimen Jerantut turut mengimbas situasi hampir sama iaitu pada Januari 2022 di mana Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) mendesak Pengerusi Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR), Tan Sri Abu Zahar Ujang dan Pengerusi Panel Perundingan & Pencegahan Rasuah (PPPR), Tan Sri Borhan Dolah direhatkan sehingga siasatan dakwaan pemilikan saham Azam selesai.

“Walaupun kedua-dua mereka bukanlah suspek, namun disebabkan kedudukan mereka dalam agensi berkaitan SPRM menyebabkan terdapat konflik kepentingan sehingga PH mendakwa mereka enggan mengambil tindakan terhadap Azam.

“Pada 14 April 1999, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur telah menjatuhkan hukuman enam tahun penjara ke atas Anwar, setelah disabitkan atas empat kesalahan berhubung penyalahgunaan kuasa campur tangan dalam siasatan polis terhadap dakwaan salah laku seksual.

“Rakyat tidak mahu lagi melihat kes sebegini berulang di dalam kerajaan,” katanya lagi.

Minggu lalu, Anwar menyifatkan tiada keperluan bagi Sivakumar direhatkan sebagai Menteri Sumber Manusia.

Ini kerana siasatan masih berjalan ke atas ahli Parlimen DAP itu berhubung dakwaan menerima wang bernilai jutaan ringgit menerusi orang tengah sebagai jaminan meneruskan kontrak-kontrak kerajaan terhadap individu tertentu.

Sivakumar dipanggil membantu siasatan susulan siasatan SPRM terhadap seorang pegawai tugas-tugas khas dan penahanan setiausaha sulitnya. – Edisi 9

Advertisements

Terkini

Bantuan awal kepada waris mangsa nahas helikopter TLDM

KERAJAAN bersetuju menyalurkan bantuan awal sebanyak RM10,000 kepada setiap keluarga mangsa nahas dua helikopter milik Tentera Laut Diraja Malaysia...

Lagi Artikel Berkaitan