24.4 C
Kuala Lumpur
Saturday, April 27, 2024

Isu kedaulatan negara: Jangan buat ulasan luar konteks

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

KENYATAAN Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa Malaysia sedia berunding dengan China mengenai pertindihan cari gali petroleum oleh Petronas bukan bermakna mengiktiraf zon ekonomi eksklusif (ZEE) itu milik China.

Sebaliknya, kata Ketua Pengarah Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM), Prof Datuk Dr Mohammad Agus Yusoff, Perdana Menteri (PM) mempertahankan kawasan itu sebagai kawasan milik negara kita di meja rundingan.

“PM menyuarakan hal tersebut kepada kerajaan China setelah China juga menyatakan mereka menuntut kawasan yang sama.

“Bagaimanapun kenyataan PM itu dimanipulasi oleh pembangkang sebagai menjual kedaulatan negara, dan menyerang PM dengan mengatakan kenyataan PM itu sebagai suatu tindakan yang mengguris hati rakyat.

“Mereka juga menganggap PM kita tidak layak memimpin negara ini,”katanya menerusi hantaran di Facebook beliau hari ini.

Pada 5 April lalu, Anwar berkata tiada penyelesaian mudah bagi tuntutan bertindih wilayah di Laut China Selatan tetapi masalah itu bukanlah satu yang tidak dapat diatasi selagi ada ruang dialog.

Anwar berkata demikian dalam temu bual dengan China Daily, semasa lawatannya ke China baru-baru ini.

Anwar menegaskan isu Laut China Selatan tidak seharusnya menjadi “isu besar” dan dialog dengan negara-negara Asean lain yang turut menuntut hasil sumber laut itu harus dilihat sebagai jalan penyelesaian.

Mengulas lanjut, Mohammad Agus turut memetik tajuk video seorang YouTuber “Nak bodek China pun, AGAK-AGAKLAH BANG NON!” yang difikirkan sangat berbahaya dan memerlukan penjelasan.

Advertisements

“Video ini mengecam PM sebagai individu yang “membodek China seolah-olah tak ingat dunia,” ekoran kenyataan PM yang mahu berunding dengan China mengenai pertindihan cari gali petroleum di kawasan ZEE oleh Petronas.

“Selepas itu muncul berbaris komen beremosi yang mencaci PM. Antaranya, “Anwar bukan tau apa pun dia ni lapaq nak jadi perdana menteri ja.” “PMX letak jawatan, anda bukan pelindung negara!

“Kita kena bertindak sekarang sebelum nasi jadi bubur. Tak mustahil negara pun dia akan jual jika dia tersepit.”

“Salahkah apabila PM mengatakan akan mempertahankan wilayah Malaysia melalui meja perundingan? Walhal rundingan itu sangat penting untuk kita menyelesaikan konflik secara aman dan konstruktif, terutamanya dengan China yang merupakan kuasa terbesar dunia.

“Dua nasihat saya iaitu yang pertama, jika pun kita berbeza politik kepartian, janganlah bermain dengan isu kedaulatan negara.

“Menuduh PM hendak menjual kedaulatan negara adalah tidak bertanggungjawab, tidak beretika, dan tidak bermoral.

“Kedua, berpolitiklah dengan fakta. PM dan semua kita mahukan yang terbaik untuk negara. Tidak puas hati dengan keputusan PM, tegur dan kritiklah secara berhemah,”katanya.

Ujar beliau, dalam kehidupan bernegara, tanggungjawab utama kita adalah membawa naratif yang betul kepada masyarakat.

“Sama-sama kita jaga kedaulatan negara kita,”katanya. – Edisi 9

Advertisements

Terkini

Tugas banteras rasuah lebih mencabar, penjenayah makin licik

TUGAS membanteras kegiatan rasuah di negara ini semakin mencabar memandangkan jenayah tersebut bersifat unik, kata Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan...

Lagi Artikel Berkaitan