27.9 C
Kuala Lumpur
Friday, March 29, 2024

Ismail Sabri pilih aktif bersama NGO, bukan politik

Mesti Baca

Ain Hamzah
Ain Hamzah
Wartawan Edisi 9

BEKAS Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memberi bayangan beliau akan aktif bersama badan bukan kerajaan (NGO) berbanding parti politik selepas ini.

Ahli Parlimen Bera itu berkata, buat masa ini beliau tidak begitu aktif kerana menghormati bulan Ramadan dan kerana berpuasa.

“Puasa ini kita slow, jaga mulut bulan puasa ini, lepas raya nanti insya-Allah kita tengok keadaan bagaimana. Tetapi bulan puasa ini, eloklah kurang bercakap, kurang mengumpat, kurangkan mengata orang, kurang fitnah, itu lebih baik.

“Kita dah lama dalam politik, kita tengok dalam bulan puasa ini pun tidak berhenti bila kita nak berhenti perkara-perkara seperti itu, kan?

“Jadi saya buat keputusan, puasa ini kita berehat dulu, tetapi lepas raya nanti, kita akan aktif balik dengan NGO (pertubuhan bukan kerajaan), anak yatim, asnaf dan lebih kepada kerja-kerja kebajikan.

“NGO bahasa, sebab kita dulu berjuang dari segi Bahasa Melayu, mengantarabangsakan Bahasa Melayu, simposium yang saya sudah anjurkan dengan kumpulan pejuang Bahasa Melayu, mungkin kita adakan perkara yang sama, saya aktif balik dalam aktiviti yang mungkin bukan politik, tetapi lebih kepada NGO,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyampaikan bantuan di Rumah Amal Asnaf Al-Barakh di Keramat, Kuala Lumpur, hari ini.

Untuk rekod, Ismail Sabri merupakan Perdana Menteri Kesembilan dan juga poster boy Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) lalu.

Bagaimanapun selepas BN tewas, Ismail Sabri dilihat tidak begitu aktif dalam politik, malah tidak mempertahankan jawatan Naib Presiden UMNO dalam pemilihan parti baru-baru ini.

Dalam pada itu, ketika ditanya mengenai barisan kempimpinan baharu UMNO, Ismail Sabri berkata, beliau memberi ruang kepada mereka untuk melaksanakan tugas terlebih dulu.

Menurutnya, adalah tidak adil untuk menilai barisan kepimpinan UMNO yang baharu dipilih itu dalam masa terdekat ini.

“Kita beri peluang pada mereka, saya nak beri komen yang negatif ke positif ke, mereka baru memegang jawatan, baru sekali saya difahamkan (mesyuarat) Majlis Kerja Tertinggi (MKT).

“Jadi kita beri ruang kepada kepimpinan baharu untuk membuat perancangan dan sebagainya,” katanya.

-EDISI9

Terkini

Warga Israel bersama 6 pucuk senjata api ditahan

SEORANG lelaki warga Israel ditahan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bersama enam pucuk pistol di sebuah hotel di Jalan Ampang,...

Lagi Artikel Berkaitan