INTER Milan mara ke final Coppa Italia selepas menang tipis 1-0 ke atas Juventus di San Siro awal pagi tadi sekali gus layak menerusi agregat 2-1.
Pemain pertahanan, Faderico Dimarco menjadi wira Nerazzurri apabila meledak gol tunggal perlawanan selepas menyudahkan hantaran menarik Nicolo Barella pada minit ke-15.
Pelawat berpeluang menyamakan kedudukan sebelum rehat namun tandukan Angel Di Maria tersasar sementara percubaan Filip Kostic diselamatkan Andre Onana.
Edin Dzeko menggegar gawang Juventus sejurus selepas rehat namun dibatalkan kerana penyerang itu dikesan berada dalam keadaan offside.
Pelawat gagal menembusi benteng pertahanan Inter dalam tempoh 90 minit perlawanan sekali gus berpeluang meraih trofi kedua kelab musim ini.
Skuad kendalian Simone Inzaghi bakal menentang pemenang di antara Fiorentina dan Cremonese yang dijadualkan pada 24 Mei di Stadio Olimpico.
Ini merupakan kali kedua berturut-turut Inter layak ke final selepas melakukannya pada musim lalu.
Bagaimanapun, Inter kini bergelut dalam Serie A apabila menduduki tempat keenam dan berpotensi terlepas peluang layak ke Liga Juara Juara Eropah musim depan.
Fiorentina mendahului secara agregat 2-0 dan akan melayan kunjungan Cremonese di Stadio Artemio Franchi awal pagi esok. – Edisi 9