Tuesday, July 21, 2026

Gempa bumi lemah di Beluran, pagi tadi

Mesti Baca

Ain Hamzah
Ain Hamzah
Wartawan Edisi 9

GEMPA bumi lemah di laut pada magnitud 3.5 dilaporkan di Beluran, Sabah, pagi tadi.

Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) dalam satu hantaran di Facebook memaklumkan, gegaran direkodkan pada jam 9.07 pagi dengan pusat gempa bumi itu terletak 6.6 darjah utara dan 117.4 darjah timur, 365 kilometer (km) dari Tarakan, Indonesia.

“Kejadian berlaku pada kedalaman 10 km dan 365 km utara dari Tarakan. Tiada ancaman tsunami kepada Malaysia,” katanya, hari ini.

Semalam, Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC) memaklumkan Malaysia mempunyai kebarangkalian untuk berlaku gempa bumi berdasarkan kepada bukti empirikal.

Sebagai langkah mitigasi jangka panjang, NRECC memaklumkan Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG) menjalankan program libat urus dengan pihak berkuasa tempatan dan pihak berkepentingan dalam aplikasi penggunaan peta bahaya seismik.

Di Semenanjung Malaysia turut pernah berlaku beberapa gegaran gempa bumi dengan pusat gempa tempatan di Bukit Tinggi di Pahang, Empangan Kenyir di Terengganu, Kuala Pilah di Negeri Sembilan serta Manjung dan Temenggor di Perak dengan julat kekuatan antara 1.6 hingga 4.6 skala Richter yang berlaku pada 1984, 1985, 1987, 2007, 2009, 2010 dan 2013.

Bagi memantau pergerakan sesar aktif yang berpotensi menyebabkan gempa bumi, NRECC memaklumkan JMG telah memasang enam stesen Penanda Aras Gempa Bumi (PAG) aktif di Sabah dan 54 PAG pasif di enam negeri meliputi 29 stesen PAG pasif di Sabah, Pahang (13), Selangor (6), dan masing-masing dua stesen di Perak, Negeri Sembilan dan Sarawak serta dipantau secara masa nyata.

JMG juga telah menerbitkan Peta Bahaya Seismik Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak pada 2019 yang mencirikan zon bahaya bencana seismik berdasarkan ‘Peak Ground Acceleration’ (PGA) yang digunakan sebagai rujukan untuk membuat reka bentuk bangunan yang tahan gegaran gempa bumi.

Menurut NRECC, kejadian gempa bumi kuat yang berlaku di Sumatera, Indonesia berpotensi mengaktifkan sesar-sesar kuno di Semenanjung Malaysia dan kesan gegaran boleh dirasai di beberapa lokasi di pantai barat Semenanjung, dengan magnitud gempa bumi yang boleh terhasil adalah bergantung kepada saiz sesar kuno yang diaktifkan.

“Bagi Sabah dan Sarawak, kejadian gegaran gempa bumi adalah disebabkan oleh kombinasi pengaktifan sesar kuno akibat daripada himpitan oleh pergerakan tektonik Plat Filipina dan Plat Eurasia serta pergerakan sesar aktif tempatan,” katanya.

-EDISI9

Terkini

Hormati perjanjian pembentukan Kerajaan Perpaduan sehingga PRU-16

SEMUA pihak diminta agar menghormati perjanjian pembentukan Kerajaan Perpaduan peringkat Persekutuan antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH)...

Lagi Artikel Berkaitan