26.1 C
Kuala Lumpur
Sunday, May 5, 2024

Cukuplah bermain dengan sentimen agama tanpa fakta

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

KETUA Pengarah Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM), Datuk Mohammad Agus Yusoff menyelar tindakan sesetengah pihak yang sengaja menggunakan sentimen perkauman untuk menakutkan etnik majoriti Melayu dengan mendakwa bangsa dan agama mereka terancam.

Beliau berkata, sentimen sebegini jika diratibkan boleh menimbulkan ketegangan kaum.

“Negara kita telah melalui tragedi akibat ketegangan kaum ini seperti dalam peristiwa 13 Mei 1969, Memali 1985, dan Operasi Lalang 1986.

“Apakah kita mahu tragedi hitam politik negara tersebut berulang lagi? Tentunya tidakkan?

“Dalam sebuah negara majmuk, sarjana bersetuju etnik majoriti harus menguasai kuasa politiknya. Namun, ini tidak bermakna etnik majoriti boleh menafikan hak etnik minoriti.

“Ini telah lama di persetujui dan sudah termaktub jelas dalam perlembagaan kita. Sayangnya, realiti politik kita tidak begitu,”katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Beliau turut mengulas artikel dari Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA) bertajuk Empangan Murtad Bakal Pecah.

Kata Mohammad Agus, artikel berkenaan tidak bertanggungjawab dan mengelirukan.

“Kelmarin saya sedih membaca satu artikel dari Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA) bertajuk Empangan Murtad Bakal Pecah.

“Apa kandungan utamanya? Artikel ini menyatakan kedudukan Islam terancam kerana sejak kebelakangan ini, beberapa kes yang melibatkan kepentingan Islam telah difailkan di Mahkamah yang bakal menyaksikan beberapa enakmen pentadbiran Islam di negeri-negeri bakal dicabar untuk dibatalkan.

“Sekiranya tuntutan ini berjaya, ia bakal menyaksikan semua Mualaf yang diislamkan melalui prosedur dan enakmen-enakmen yang dicabar tersebut, akan dimurtadkan secara besar-besaran.

Advertisements

“Artikel ini tidak bertanggungjawab dan mengelirukan. Statistiknya tidak dinyatakan. Berapa kes mahkamah? Apakah yang kerajaan atau bukan Melayu telah buat sehingga Islam dikatakan terancam?

“Tajuk empangan pecah pun menakutkan, digunakan semata-mata untuk membangkitkan emosi perkauman supaya orang Melayu menolak kerajaan sekarang yang didakwa tidak menjaga kepentingan Melayu dan Islam.

Tambahnya, reaksi pengomen yang menyokong artikel tersebut juga penuh emosi dan jelek.

“Antaranya mereka meminta kerajaan melindungi agama, bukannya ikut telunjuk kafir. Ada juga yang mendakwa kerajaan ini dengki terhadap kebangkitan Islam dan ini adalah tindakan pengkhianat negara.

“Lebih jauh lagi, ada yang bertanya di mana baginda raja. Akhirnya, mereka menyeru supaya orang Melayu bangkit kerana agama Islam terancam,”katanya.

Katanya, sebagai pelajar politik, beliau menolak politik perkauman.

“Saya impikan bangsa Malaysia yang bersatu. Saya bosan dengan naratif politik yang menimbulkan kebencian sesama kita.

“Oleh itu, saya merayu anak muda dan rakyat Malaysia yang mahu melihat kita maju untuk menolak sentimen kaum dan agama ini, apa tah lagi sentimen tanpa fakta dan data. Bagi saya, ini pandangan mereka yang mindanya tertawan.

“Akhirnya, marilah kita berganding bahu membangunkan Malaysia Madani yang bertoleransi, berkeadilan dan bersatu padu. Marilah kita sama-sama menjadi agen membawa kasih sayang dalam kehidupan bernegara.

“In Shaa Allah, dengan cara ini, kita boleh hidup dalam keadaan harmoni dan saling menghormati. Negara kita pula boleh melangkah maju dan gagah untuk kembali perkasa di pentas dunia. Bukankah ini yang kita mahu?,”soal beliau. – Edisi 9

Advertisements

Terkini

USANITA pilih Awal Ashaari sebagai wajah untuk 2024

ATAS komitmen terbaik yang diberikan dalam memberikan kerjasama terhadap pelbagai program yang dijayakan oleh Usanita Sdn Bhd (USANITA), pelakon...

Lagi Artikel Berkaitan