26.5 C
Kuala Lumpur
Saturday, June 10, 2023

91 sindiket dadah tumpas dari Jan hingga Mac

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

POLIS Diraja Malaysia (PDRM) berjaya menumpaskan 91 sindiket dadah dalam pelbagai serbuan dilakukan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) bagi tempoh Januari hingga Mac lalu.

JSJN dalam kenyataan di Facebooknya berkata, seramai 256 orang ahli berkenaan berjaya diberkas serta tiga buah makmal dadah haram berjaya dibongkar dengan tiga tangkapan ahli kimia.

Katanya, pihaknya berjaya memberkas 50,109 orang di bawah pelbagai Seksyen kesalahan yang termaktub di bawah Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952, Akta Racun 1952 dan Akta Penagih Dadah (R&P) 1983.

“Daripada jumlah tersebut seramai 90 individu ditahan di bawah Seksyen 3(1) ADB Langkah-Langkah Pencegahan Khas (LLPK) 1985,” katanya di sini.

Dalam pada itu, JSJN juga berjaya merampas 7,538 kilogramn (kg) pelbagai jenis dadah dan 1,013 liter (L) pelbagai jenis cecair dadah.

“JSJN juga telah berjaya merampas sebanyak 24,760 kg daun ketum dan 18,049 L air ketum serta dua batang pokok ganja yang membawa nilai rampasan adalah sebanyak RM199.5 juta,” jelasnya.

Baca juga:   Tujuh Ahli Parlimen PN berlepas ke Turkiye

Tambah kenyataan itu, seramai 2,135 penagih dadah tegar yang mempunyai rekod kesalahan dadah berulang di bawah Seksyen 15(1)(a) ADB 1952 telah dituduh di bawah Seksyen 39C ADB 1952.

“Daripada jumlah tersebut seramai 1,189 individu telah disabitkan kesalahan di bawah seksyen yang sama,”katanya.

Tegasnya, JSJN tidak berkompromi dengan mana-mana penjawat awam yang terlibat dengan aktiviti pengedaran dan penyalahgunaan dadah, seramai 156 orang penjawat awam telah diberkas atas pelbagai kesalahan dadah.

Baca juga:   Kestabilan politik, dasar jelas jadikan Malaysia pilihan AWS

“Empat orang daripadanya ditahan di bawah Seksyen 3(1) ADB Langkah-Langkah Pencegahan Khas (LLPK) 1985,”katanya.

Ujarnya, sepanjang tempoh tersebut, sebanyak 20,204 kertas siasatan dibuka dan daripada jumlah itu sebanyak 17,807 kertas siasatan berjaya dituduh dengan peratus pertuduhan 88.14 peratus.

“Bagi melumpuhkan sindiket pengedaran dadah di Malaysia, pelbagai aset sindiket dadah bernilai RM23.67 juta telah disita manakala sebanyak RM1.89 juta nilai harta yang telah dilucuthak.

“Terdapat dua kes menarik dalam tempoh tersebut iaitu pada 28 Mac lalu, tangkapan ke atas dua individu di sekitar Petaling Jaya, Selangor serta merampas 298.49 kg dadah jenis syabu yang bernilai RM10.7 juta.

“Manakala pada 30 Mac lalu, tangkapan ke atas eman individu di sekitar Seberang Perai Tengah, Pulau Pinang serta merampas 183.6 kg dadah jenis syabu yang bernilai RM6.1 juta,”katanya.

Baca juga:   Hilang wang simpanan KWSP ditipu sindiket tawaran kerja

JSJN menyeru orang ramai mempunyai maklumat aktiviti pengedaran dan penyalahgunaan dadah di kawasan masing-masing untuk tampil menyalurkan ke Hotline JSJN di talian 012-208 7222. – Edisi 9

Wartawan

Terkini

Pindaan perlembagaan mudahkan daftar ahli baharu lulus

PERHIMPUNAN Agung Khas UMNO hari ini meluluskan pindaan perlembagaan parti itu berhubung hal-hal keahlian dan prosedurnya bagi memudahkan lagi...

Lagi Artikel Berkaitan