27.1 C
Kuala Lumpur
Thursday, July 18, 2024

2 bot nelayan asing ditahan, ceroboh perairan Langkawi

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

AGENSI Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Kedah dan Perlis menahan dua bot nelayan Indonesia di perairan Langkawi, pagi kelmarin kerana tidak mempunyai premit melakukan aktiviti tangkapan.

Bot berkenaan ditahan ketika sedang melakukan aktiviti tangkapan tersebut lada kedudukan lebih kurang enam batu nautika barat daya Pulau Segantang, Langkawi.

Pengarah Maritim Negeri Kedah dan Perlis, Laksamana Pertama Maritim Romli bin Mustafa berkata, hasil pemeriksaan awal mendapati kedua-dua bot masing-masing dikendalikan oleh enam kru termasuk tekong berumur lingkungan 16 hingga 40 tahun.

“Kesemua 12 nelayan Indonesia ini ditahan selepas didapati tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah dan bot tidak mempunyai permit menangkap ikan daripada Pengarah Jabatan Perikanan Malaysia,”katanya menerusi kenyataan di sini.

Beliau berkata, sebelum ini tular di media sosial mengatakan bahawa Maritim Malaysia tidak menghiraukan aduan dari komuniti nelayan.

“Bagaimanapun, isu ini telah dapat disangkal dengan kejayaan tangkapan dua bot berkenaan.

“Dalam tangkapan tersebut bot, peralatan menangkap ikan, hasil laut kira-kira 200 kilogram ikan campur dan bekalan diesel 230 liter turut ditahan.

Advertisements

“Sehubungan dengan itu, kes disiasat di bawah Seksyen 15 (1) (a) Akta Perikanan 1985 kerana menangkap ikan atau cuba menangkap ikan tanpa kebenaran Ketua Pengarah Jabatan Perikanan Malaysia.

“Dalam masa sama disiasat dibawah Seksyen 16 (3) akta yang sama kerana gagal memberitahu pegawai berkuasa melalui radio atau faksimili tentang nama negara, bendera, lokasi laluan dan destinasi vesel, dalam hal memasuki perairan perikanan Malaysia.

“Sekiranya sabit kesalahan di atas kedua-dua kesalahan itu boleh dihukum denda sehingga RM6 juta kepada tekong dan RM600,000 ke atas setiap kru mengikut Seksyen 25 (a) Akta Perikanan 1985.

“Selain itu, bot dan peralatan menangkap ikan boleh dilucuthak kepada kerajaan Malaysia jika sabit kesalahan.

“Kesemua kru juga akan disiasat di bawah Seksyen 6 (1) (c) Akta Imigresen 1959/63 kerana gagal mempamerkan sebarang dokumen pengenalan diri yang sah,”katanya.

Ujar beliau, sebarang maklumat berkenaan penguatkuasaan dan carilamat, orang ramai boleh menghubungi MERS 999 atau Pusat Operasi Maritim Negeri Kedah dan Perlis di talian 04-9662750 untuk maklum balas segera. – Edisi 9

Advertisements

Terkini

212 terima penajaan Biasiswa YDPA sejak 2006 – Wan Dahlan

SERAMAI 212 warganegara Malaysia telah menerima Biasiswa Yang di-Pertuan Agong (BYDPA) menerusi 19 penawaran sejak diperkenalkan pad 2006 sehingga...

Lagi Artikel Berkaitan