34 C
Kuala Lumpur
Friday, March 29, 2024

Shabery umum berundur, titip pesan kepada perwakilan

Paling penting tidak menghebahkan perbezaan itu di luar parti. Ini adat berorganisasi.

Mesti Baca

Ain Hamzah
Ain Hamzah
Wartawan Edisi 9

“MENANG bukan untuk bermegah. Kalah bukan untuk berpatah.”

Itu pesanan Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek kepada lebih 100,000 perwakilan UMNO yang akan memilih para pemimpin peringkat Pusat dan Bahagian di seluruh negara esok.

Beliau yang tidak mempertahankan sebarang jawatan baik di peringkat MKT mahupun bahagian berharap, seluruh perwakilan serta calon dapat membuat pilihan terbaik.

Berkongsi pengalaman selama 15 tahun dalam MKT, beliau berkata, sepanjang tempoh tersebut bekas menteri Kabinet itu telah memainkan peranannya memberi sokongan terhadap saranan yang dirasakan sesuai serta memberikan hujahan sekiranya terdapat perbezaan.

“Sepanjang tempoh tersebut ada menyokong saranan. Menghujah perbezaan. Bahkan adakala meminta direkodkan tidak bersama dengan keputusan yang dibuat.

“Paling penting tidak menghebahkan perbezaan itu di luar parti. Ini adat berorganisasi. Sama-sama pertahankan parti waktu senang dan susah,” katanya menerusi catatan dalam Facebooknya hari ini.

Pengunduran beliau daripada mengambil bahagian dalam pemilihan parti kali ini menandakan bekas Ahli Parlimen Kemaman itu secara beransur-ansur mahu meninggalkan arena politik yang diceburi sejak lebih 30 tahun lalu.

Selain jawatan MKT, Shabery juga tidak mempertahankan kerusi Ahli Jawatankuasa UMNO Bahagian Kemaman.

Dalam pemilihan UMNO kali ini, sebanyak 270 calon mengesahkan untuk bertanding merebut jawatan di peringkat MKT dengan jawatan Presiden dan Timbalan Presiden tidak dipertandingkan.

Persaingan merebut tiga jawatan Naib Presiden UMNO paling dinantikan yang menyaksikan pertembungan enam penjuru.

Penyandangnya, Datuk Seri Mahdzir Khalid dan Datuk Seri Mohamed Khalid Nordin dicabar oleh Datuk Seri Azalina Othman Said, Datuk Seri Johari Abdul Ghani, Datuk Seri Hasni Mohamad dan Datuk Seri Wan Rosdu Wan Ismail.

Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan UMNO 2023, Tan Sri Shahrir Abdul Samad berkata, sebanyak 74 pencalonan diterima bagi jawatan MKT bagi memilih 25 wakil.

-EDISI9

Terkini

KKDW peruntuk RM46.6 juta untuk pembangunan di Selangor

KEMENTERIAN Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) memperuntukkan sebanyak RM46.6 juta untuk pelbagai pembangunan infrastruktur serta komuniti, kemahiran dan pembiayaan...

Lagi Artikel Berkaitan