31 C
Kuala Lumpur
Saturday, April 20, 2024

Satelit pantau aktiviti penerokaan di Cameron Highlands

Kesemua maklumat yang diperoleh akan dirangkumkan ke dalam satu sistem khusus yang beroperasi secara dalam talian

Mesti Baca

Ahmad Shazwan Md Yusof
Ahmad Shazwan Md Yusof
Wartawan Edisi 9

SEBARANG aktiviti atau mitigasi pembangunan tanah di kawasan Cameron Highlands akan dipantau menggunakan imej satelit remote sensing.

Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) berkata, satelit itu berupaya merakam aktiviti permukaan bumi secara kerap, berulang, liputan yang luas dan menghasilkan imej digital beresolusi tinggi atau memfokus ketepatan sehingga 50 sentimeter (cm) sekali gus membolehkan pengesanan dilakukan dengan lebih cekap dan berkesan.

Katanya, kesemua maklumat yang diperolehi melalui satelit akan dirangkumkan ke dalam satu sistem khusus yang beroperasi secara dalam talian yang dikenali sebagai Sistem iPantau Cameron Highlands.

“Penggunaan teknologi remote sensing angkasa dan Sistem iPantau Cameron Highlands sedia ada akan terus dioperasikan bagi meningkatan aspek pengurusan tanah.

“Ini merangkumi pengukuran semula sempadan lesen pendudukan sementara (LPS), pengemaskinian data-data LPS sedia ada dan aspek pemantauan lain yang dilaksanakan pihak berkuasa secara berterusan dari masa ke semasa,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

MOSTI melalui Agensi Angkasa Malaysia (Mysa) hari ini memeterai memorandum persefahaman (MoU) bersama Pejabat Daerah dan Tanah Cameron Highlands (PDTCH) dan Perbadanan Kemajuan Cameron Highlands (PKCH) di sebuah hotel di Cameron Highlands, Pahang.

MoU itu merupakan kesinambungan kepada kerjasama strategik antara Mysa dan PDTCH yang telah dimulakan sejak tahun 2011.

Kerjasama itu menumpukan kepada penggunaan teknologi angkasa khususnya imej satelit remote sensing bagi tujuan perancangan, pemantauan aktiviti dan mitigasi pembangunan tanah di kawasan Cameron Highlands.

MoU telah disempurnakan Ketua Pengarah Mysa, Azlikamil Napiah dan Pegawai Daerah PDTCH, Syed Ahmad Khirulanwar Alyahya Syed Abdul Rahman yang juga merupakan Ketua Pegawai Eksekutif PKCH.

Turut berkenan berangkat dan menyaksikan upacara itu, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Ketua Setiausaha MOSTI, Datuk Ts. Dr. Aminuddin Hassim. – Edisi 9

Terkini

Bekas Ketua Polis Negara, Tun Hanif Omar meninggal dunia

BEKAS Ketua Polis Negara (KPN), Tun Mohammed Hanif Omar meningggal dunia di kediamannya di Shah Alam, Selangor pagi ini. Allahyarham...

Lagi Artikel Berkaitan