27.9 C
Kuala Lumpur
Wednesday, April 24, 2024

PM sempurnakan “flag off” 1500 Bakul Rahmah ke Tambun

Mesti Baca

Ain Hamzah
Ain Hamzah
Wartawan Edisi 9

SEBANYAK 1,500 Bakul RAHMAH dan enam buah lori telah dilepaskan ke Tambun yang disempurnakan sendiri oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Seri Salahuddin Ayub.

“Flag Off” Konvoi Bakul RAHMAH ke Tambun itu telah diadakan di Lobi Pejabat Ketua Majlis, Bangunan Parlimen, hari ini.

Menurut Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Seri Salahuddin Ayub, KPDN telah melancarkan Inisiatif Bakul RAHMAH melalui Program Payung RAHMAH yang diperkenalkan oleh kementerian pada awal tahun.

Program itu ujar beliau bagi membantu kumpulan miskin tegar B10 iaitu yang berpendapatan kurang daripada RM2,500 bagi mengurangkan beban kos sara hidup yang dihadapi oleh golongan tersebut.

“Sehingga hari ini, sebanyak 26,150 Bakul RAHMAH telah diagihkan ke seluruh Malaysia dengan bantuan sumbangan berbentuk makanan asas daripada Yayasan Global Mesra (YGM),” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, Salahuddin memaklumkan kementeriannya akan menggerakkan Inisiatif Bakul RAHMAH berkenaan dengan kerjasama bersama Rakan Strategik, Pemain Industri (pasar raya) agensi Kerajaan, Pertubuhan Badan Bukan Kerajaan (NGO) dan sebagainya.

Malah menurutnya, Inisiatif Bakul RAHMAH berkenaan semakin mendapat perhatian ramai terutama syarikat korporat dan hal ini akan diumumkan dari semasa ke semasa.

Advertisements

“KPDN amat berbesar hati untuk menerima sumbangan berbentuk makanan harian daripada semua pihak untuk diagihkan kepada golongan berpendapatan rendah dengan lebih berkesan, konsisten dan bersasar,” katanya.

Menurut beliau, kementerian berharap lebih ramai pihak industri, pertubuhan badan bukan kerajaan (NGO), tokoh korporat, dermawan dan orang perseorangan dapat bersama Kementerian dalam menggembleng tenaga dalam usaha menoktahkan kemiskinan tegar dan seterusnya menjayakan Inisiatif Bakul RAHMAH tersebut.

Selain itu, beliau juga mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang aktif membantu Kementerian dalam membantu golongan sasar.

“KPDN juga amat mengalu-alukan sumbangan dari syarikat-syarikat, organisasi-organisasi dan orang perseorangan sebagai sebahagian dari tanggungjawab sosial korporat dalam membantu golongan yang memerlukan khususnya mangsa bencana alam seperti tanah runtuh dan banjir,” katanya.

-EDISI9

Advertisements

Terkini

Bantuan awal kepada waris mangsa nahas helikopter TLDM

KERAJAAN bersetuju untuk menyalurkan bantuan awal sebanyak RM10,000 kepada setiap keluarga mangsa nahas dua helikopter milik Tentera Laut Diraja...

Lagi Artikel Berkaitan