BEKAS Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad menyifatkan kerajaan perpaduan di bawah Datuk Seri Anwar Ibrahim seolah-olah mengiakan kemiskinan orang Melayu.
Beliau yang juga bekas Ahli Parlimen Langkawi berkata, ini kerana masalah orang Melayu khususnya dalam soal kemiskinan tidak pernah dibincangkan Perdana Menteri itu.
Katanya, Anwar sepatutnya mencari titik penyelesaian kepada masalah kemiskinan yang dialami Melayu dan bukannya hanya menumpukan kepada usaha menangkap pemimpin yang terlibat dalam rasuah.
“Sebagai Perdana Menteri, dia tidak benar langsung orang Melayu bincang masalah yang mereka hadapi. Proklamasi (Melayu) yang ditulis tidak salahkan bangsa lain tentang nasib malang mereka.
“Hanyalah menyalahkan pemimpin perasuah sahaja. Merekalah pemimpin yang salah guna kuasa, mencuri wang, tidak bantu Melayu selesaikan masalah kemiskinan.
“Jika kita tidak cari penyelesaian kepada masalah yang dihadapi Melayu, jadi tidak salah jika dikatakan Kerajaan hari ini mengiakan kemiskinan dalam kalangan Melayu,” katanya menerusi Facebook hari ini.
Mengulas lanjut, Mahathir berkata, pemimpin Kerajaan perlu dihadapkan ke mahkamah dan didakwa atas hasutan.
“Perbuatan berat sebelah terhadap Melayu adalah petunjuk sikap perkauman Kerajaan. Inilah hasutan kerana bertentangan dengan perlembagaan negara kita,” ujarnya. – Edisi 9

