28 C
Kuala Lumpur
Tuesday, April 23, 2024

Keputusan perwakilan diharap dapat bangkitkan semula UMNO

Demokrasi UMNO terus subur meskipun dikatakan sedang mengalami zaman ‘malap’.

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

PRESIDEN UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berharap keputusan yang akan dibuat di 189 bahagian pada pemilihan parti hari ini, akan menjadi satu langkah kepada kebangkitan semula parti itu.

Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu berkata, kepimpinan yang terpilih menerusi keputusan yang dibuat perwakilan, bukan sahaja membabitkan pusat bahkan turut melibatkan peringkat negeri dan bahagian, perlulah bergerak seiring dan bekerja sebagai satu pasukan, dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri.

“Sama ada tokoh-tokoh itu dikenali atau pun sedang dikenali atau tidak dikenali langsung, UMNO sangat demokratik dengan kaedah untuk menjadi calon hanya perlu mendaftarkan diri setelah cukup tempoh untuk melayakkan mereka sebagai calon.

“Apa yang saya harapkan, keputusan yang akan dibuat di 189 bahagian, ia akan menjadi satu langkah untuk UMNO bangkit 2.0,” katanya ketika ditemui pada Mesyuarat Pemilihan UMNO Bahagian Bagan Datuk, hari ini.

Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri, menegaskan demokrasi dalam UMNO terus subur dengan memperlihatkan ramai calon menawarkan diri, meskipun dikatakan sedang mengalami zaman ‘malap’.

Pemilihan UMNO diadakan bermula pada 1 Feb dengan Persidangan Tahunan UMNO Cawangan dan Pemilihan Jawatankuasa Cawangan, Wanita, Pergerakan Pemuda serta Pergerakan Puteri Cawangan.

Ia diikuti Mesyuarat Perwakilan dan Pemilihan Jawatankuasa Wanita UMNO, Pergerakan Pemuda dan Puteri UMNO Bahagian bersama Pemilihan Exco Wanita, Exco Pergerakan Pemuda dan Exco Pergerakan Puteri UMNO Pusat, diadakan serentak di seluruh negara pada 11 Mac lepas.

Pemilihan UMNO berakhir hari ini dengan berlangsungnya Mesyuarat Perwakilan dan Pemilihan Jawatankuasa UMNO Bahagian, bersama pemilihan Ahli Majlis Tertinggi (MT).

Advertisements

Sementara itu, Ahmad Zahid berharap Ahli MT yang dipilih dapat memperkukuh parti, selain menegaskan UMNO perlu keluar daripada kepompong konvensional kepada pendigitalan, bagi meraih sokongan pengundi termasuk pengundi baharu.

“Harapan saya agar kita pilih calon-calon yang terbaik dalam kalangan yang terbaik, agar kita tidak tersalah pilih kali ini biar pun saya meraikan perbezaan pandangan dan pendapat, tetapi kita jangan berbeza pendirian apabila parti membuat keputusan terutama keputusan besar.

“Kini kita berada dalam Kerajaan Perpaduan dan kita mendukung cita-cita Malaysia MADANI dan kita sebahagian daripada kerajaan.

“Maka keserasian antara UMNO dan parti komponen Barisan Nasional bersama parti yang mendukung Kerajaan Perpaduan ini mula terjamin, bukan saja di peringkat nasional, negeri, kawasan Parlimen dan DUN (Dewan Undangan Negeri) malah yang penting di peringkat PDM (pusat daerah mengundi) dan lokaliti,” katanya.

Menyentuh mengenai kekalahan anaknya Datuk Nurulhidayah yang gagal memenangi jawatan Ketua Wanita UMNO Bahagian Bagan Datuk pada pemilihan kali ini, Ahmad Zahid berkata keputusan itu membuktikan bahawa tiada campur tangan yang berlaku di semua peringkat.

“Saya mengambil langkah-langkah profesional agar kepimpinan tertinggi tidak perlu campur dalam pemilihan ini sebagaimana yang saya sebut, pilihlah yang terbaik dalam kalangan yang baik-baik, termasuk anak sendiri,” katanya.

Pada pemilihan itu, Nurulhidayah tewas penyandangnya, Zarozatin Isa. – BERNAMA

Advertisements

Terkini

Tiga wanita antara terkorban nahas helikopter TLDM di Lumut

TIGA wanita yang menjadi penumpang helikopter HOM antara 10 yang terkorban dalam nahas dua helikopter Tentera Laut Diraja Malaysia...

Lagi Artikel Berkaitan