Tuesday, July 21, 2026

KDN lulus usul UMNO tak pertanding dua jawatan tertinggi

KDN memberi pengecualian daripada pematuhan Seksyen 13(1)(c)(iv) Akta Pertubuhan 1966 (Akta 832) kepada UMNO

Mesti Baca

Ain Hamzah
Ain Hamzah
Wartawan Edisi 9

KEMENTERIAN Dalam Negeri (KDN) memutuskan untuk memberi pengecualian daripada pematuhan Seksyen 13(1)(c)(iv) Akta Pertubuhan 1966 (Akta 832) kepada UMNO berhubung keputusan usul tambahan tidak mempertandingkan jawatan Presiden dan Timbalan Presiden pada pemilihan parti tahun ini.

Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, pihaknya merujuk kepada Perlembagaan dan Peraturan-Peraturan Persidangan UMNO mengenai usul tambahan berkenaan dan memberi pengecualian berdasarkan Seksyen 70 Akta 832

“KDN telah meneliti mengenai ketetapan yang telah dibuat oleh PAU (Perhimpunan Agung UMNO) 2022 daripada Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan pada 3 Mac lepas.

“Merujuk kepada Perlembagaan dan Peraturan-Peraturan Persidangan UMNO, Kementerian berdasarkan Seksyen 70, Akta Pertubuhan 1966 (Akta 832) telah memutuskan untuk memberi pengecualian daripada pematuhan Seksyen 13(1) (c) (iv) Akta 832 kepada UMNO,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Usul tambahan tidak mempertandingkan jawatan Presiden dan Timbalan Presiden pada pemilihan UMNO tahun ini diluluskan semasa Perhimpunan Agung parti itu di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur pada 14 Januari lepas.

Ahad lepas, Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, tindakan Pendaftar Pertubuhan (ROS) mengesahkan usul berkenaan membuktikan keabsahan keputusan dibuat pada PAU 2022 seterusnya menamatkan polemik mengenainya

Sebelum ini, usul tambahan agar jawatan Presiden dan Timbalan Presiden tidak dipertandingkan dalam pemilihan UMNO akan datang dicadangkan perwakilan dari Negeri Sembilan, Mohd Shukri Samsudin.

Susulan daripada itu, dua ahli UMNO pada 20 Januari lalu menghantar aduan kepada ROS agar semakan dibuat terhadap usul tambahan yang diluluskan semasa PAU 2022 itu.

Aduan dikemukakan oleh ahli UMNO Bahagian Kuala Nerus, Muhammad Aizat Fikri Mohd Nasir dan ahli UMNO Seremban, Muhammad Fiqri Firdaus Muhammad Rom.

-EDISI9

Terkini

Hormati perjanjian pembentukan Kerajaan Perpaduan sehingga PRU-16

SEMUA pihak diminta agar menghormati perjanjian pembentukan Kerajaan Perpaduan peringkat Persekutuan antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH)...

Lagi Artikel Berkaitan