30.8 C
Kuala Lumpur
Saturday, April 20, 2024

Juara Liga Super bakal terima RM2.4 juta

Enam pasukan teratas Liga Super bakal menerima pendapatan lebih RM1 juta

Mesti Baca

Ahmad Shazwan Md Yusof
Ahmad Shazwan Md Yusof
Wartawan Edisi 9

JUARA Liga Super 2023 bakal menerima agihan pendapatan tertinggi sebanyak RM2.4 juta.

Menerusi sistem agihan pendapatan berasaskan merit yang pertama kalinya diperkenalkan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL), enam pasukan teratas Liga Super bakal menerima pendapatan lebih RM1 juta.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MFL, Stuart Ramalingam, peningkatan sebanyak RM6.95 juta atau 96.55 peratus itu akan diagihkan kepada setiap kelab berdasarkan prestasi masing-masing di penghujung musim.

Katanya, itu tidak termasuk wang kemenangan kepada juara dan naib juara Piala MFL sebanyak RM500,000 dan RM250,000 sekali gus menjadikan jumlah agihan tambahan keseluruhan sebanyak RM7.7 juta.

“Sistem agihan pendapatan berdasarkan merit ini sudah dibentangkan kepada semua rakan kongsi liga di mana sistem agihan pendapatan ini dilihat lebih adil buat kelab-kelab yang mempamerkan prestasi cemerlang pada sepanjang musim.

“Pembentangan itu mendapat reaksi cukup baik dan mereka menerima cadangan agihan pendapatan berdasarkan merit untuk diperkenalkan tahun ini,” katanya menerusi kenyataan semalam.

Pada musim 2021-2022, susulan kesan pandemik COVID-19 yang melanda dunia, agihan dilakukan berdasarkan dua asas.

Agihan sama rata sebanyak RM500,000 diberikan kepada setiap kelab Liga Super dan RM250,000 kepada setiap kelab Liga Premier.

Hanya kelab yang berada di kedudukan tiga teratas Liga Super atau Liga Premier akan memperoleh hadiah wang tunai tambahan.

Carta agihan pendapatan yang dibuat MFL berdasarkan kedudukan akhir kelab.

Sistem pengagihan kepada 14 kelab Liga Super 2023 ini bakal menyaksikan peningkatan sebanyak lebih 96.55 peratus iaitu RM15.675 juta berbanding RM7.975 juta yang diagihkan kepada 14 kelab yang sama musim lalu.

Agihan musim ini akan membolehkan enam kelab terbaik dalam liga memiliki peluang untuk membawa pulang lebih RM1 juta manakala pasukan yang menduduki kedudukan paling rendah juga mampu membawa pulang sekurang-kurangnya RM600,000 berbanding hanya RM250,000 pada 2022.

Sementara itu, Presiden MFL, Datuk Ab. Ghani Hassan berkata, peningkatan agihan pendapatan kepada semua kelab Liga Super musim ini adalah satu petanda positif terhadap perkembangan Liga Malaysia.

“MFL melihat sistem agihan pendapatan ini akan menggalakkan semua kelab bersaing hebat bagi mendapatkan kedudukan terbaik sekali gus menerima lebih banyak pendapatan.

“Adalah tanggungjawab MFL sebagai badan pengelola liga untuk berusaha meningkatkan pendapatan kelab-kelab.

“Kami percaya dengan kerjasama syarikat-syarikat korporat serta rakan penyiar, Liga Malaysia dapat terus dikomersilkan bagi meningkatkan pendapatan kelab-kelab,” jelasnya. – Edisi 9

Terkini

Bekas Ketua Polis Negara, Tun Hanif Omar meninggal dunia

BEKAS Ketua Polis Negara (KPN), Tun Mohammed Hanif Omar meningggal dunia di kediamannya di Shah Alam, Selangor pagi ini. Allahyarham...

Lagi Artikel Berkaitan