30.9 C
Kuala Lumpur
Friday, March 29, 2024

Hukuman penjara seumur hidup mansuh sepenuhnya

Mesti Baca

Ain Hamzah
Ain Hamzah
Wartawan Edisi 9

JEMAAH Menteri dalam mesyuarat pada Jumaat lepas bersetuju dengan beberapa dasar baharu dalam usaha pemansuhan hukuman mati mandatori.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang- Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, antara dasar itu ialah tiada lagi hukuman pemenjaraan sepanjang hayat (seumur hidup) sebagai alternatif kepada hukuman mati mandatori.

Sebaliknya ujar beliau, hukuman alternatif baharu adalah hukuman pemenjaraan tidak kurang 30 tahun dan tidak melebihi 40 tahun serta sebatan tidak kurang 12 kali.

Menurut beliau, hukuman pemenjaraan sepanjang hayat sebagai satu hukuman dimansuhkan sepenuhnya dalam semua undang-undang manakala hukuman mati dimansuhkan bagi kesalahan-kesalahan yang tidak menyebabkan kematian, melainkan tiga kesalahan laitu Seksyen 121 dan 121A Kanun Keseksaan dan Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Satu Rang Undang-Undang (RUU) baharu bagi membolehkan hukuman mati atau hukuman penjara sepanjang hayat yang sudah dikenakan, disemak semula oleh Mahkamah Persekutuan.

“Cadangan RUU ini dijangka memberi kesan kepada 957 orang banduan hukuman mati dan banduan sepanjang hayat yang sudah menghabiskan proses rayuan di mahkamah sebelum ini,” katanya pada sesi pertanyaan bagi jawab lisan di Dewan Negara hari ini.

Azalina menjawab pertanyaan Senator Datuk Koh Nai Kwong mengenai status terkini kajian semula cadangan melaksanakan hukuman gantian kepada hukuman mati mandatori bagi pelbagai kesalahan.

Menurut Azalina, dasar kerajaan ketika ini ialah untuk mengubah hukuman, bukannya menghapuskan hukuman mati berkenaan dengan kuasa budi bicara diberi kepada hakim.

“Bacaan kali pertama bagi RUU Pemansuhan Hukuman Mati Mandatori 2023 dan RUU Semakan Hukuman Mati dan Pemenjaraan Sepanjang Hayat (Bidang Kuasa Sementara Mahkamah Persekutuan) 2023 akan dilakukan pada Isnin ini.

“RUU Pemansuhan Hukuman Mati Mandatori 2023 dijangka memberi kesan kepada 476 orang banduan hukuman mati yang belum menghabiskan proses rayuan, sama ada di Mahkamah Rayuan ataupun Mahkamah Persekutuan.

“Hal ini disebabkan hukuman alternatif kepada hukuman mati mandatori akan bersifat ke belakang,” katanya. 

-EDISI9

Terkini

Imigresen serbu pusat hiburan sediakan ‘call girl’, 63 ditahan

JABATAN Imigresen Johor menyerbu sebuah pusat hiburan yang disyaki menyediakan gadis panggilan (call girl) di Taman Mount Austin, Johor...

Lagi Artikel Berkaitan